Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Penahanan ketua kartel di Mexico cetus keganasan
  • GLOBAL

Penahanan ketua kartel di Mexico cetus keganasan

Utusan Sarawak 5 hours ago
PASUKAN khas Mexico menahan ketua kartel Audias Flores Silva hari ini.

MEXICO CITY: Pasukan khas Mexico menahan ketua kartel Audias Flores Silva hari ini, sekali gus mencetuskan tindak balas ganas, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Flores Silva, yang dikenali sebagai El Jardinero sebelum ini dikenal pasti oleh risikan Mexico sebagai bakal pengganti Nemesio Oseguera Cervantes atau “El Mencho”, ketua kartel Jalisco New Generation Cartel (CJNG), yang terbunuh dalam operasi tentera Mexico pada 22 Februari.

Susulan penahanan Flores Silva, media tempatan melaporkan kejadian kenderaan dan premis perniagaan dibakar di Nayarit dan Jalisco, yang dikenali sebagai kubu kuat CJNG.

Keganasan dilaporkan berlaku di sekurang-kurangnya enam majlis perbandaran, dengan pihak berkuasa menasihatkan penduduk supaya kekal berada di rumah.

Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.

Menurut kenyataan bersama Tentera Laut Mexico, Sekretariat Keselamatan dan Pejabat Peguam Negara, Flores Silva ditahan ketika cuba melarikan diri melalui paip saliran di rumah persembunyiannya di Nayarit, sebuah negeri pesisir pantai di barat Mexico.

Agensi keselamatan Mexico, dengan sokongan risikan agensi Amerika Syarikat (AS), memantau pergerakannya selama 19 bulan sebelum mengepungnya di komuniti kecil El Mirador.

Walaupun Flores Silva mempunyai kawalan keselamatan membabitkan 60 orang dan 30 kenderaan, pasukan Mexico berjaya menahannya tanpa pertumpahan darah, menurut laporan.

“Operasi itu dijalankan dengan ketepatan tinggi tanpa perlu melepaskan sebarang tembakan, tanpa kematian, kecederaan atau kerosakan sampingan,” menurut kenyataan itu.

Waran tangkap dikeluarkan terhadap Flores Silva kerana didakwa antara dalang utama keganasan di negara itu. 

Dia turut berdepan perintah ekstradisi ke AS atas peranannya dalam penghasilan dan penyeludupan narkotik.

Menerusi akaun media sosial X, duta AS ke Mexico Ronald Johnson memuji penahanan pemimpin jenayah itu.

“Penahanan Audias Flores Silva ‘El Jardinero,’ pemimpin utama CJNG, merupakan langkah penting menentang pihak yang meraih keuntungan daripada fentanyl dan mencetuskan keganasan dalam komuniti kita,” tulisnya. – Bernama

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Suspek dipercayai cuba bunuh Trump pada majlis makan malam media
Next: Amazon hantar satelit baharu ke angkasa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.