
SIBU: Golongan belia diseru supaya memainkan peranan sebagai ejen perubahan dengan memperkukuh nilai kepimpinan, integriti dan semangat berkhidmat dalam masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, generasi muda perlu berani mencipta peluang serta tidak hanya menunggu ruang diberikan dalam usaha membina masa depan yang lebih baik.
“Kepimpinan bukan sekadar gelaran, tetapi menuntut tanggungjawab, integriti dan komitmen kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh wakilnya, John Ling pada Majlis Pelantikan Bersama dan Penyampaian Anugerah Sibu Mandarin International Junior Chamber serta Junior Chamber International (JCI) Youth MPI, di Sibu, baru-baru ini.
Menurut beliau, platform seperti JCI memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri belia melalui pendedahan kepada pengalaman praktikal, sekali gus melahirkan pemimpin yang lebih berdaya saing.
“Organisasi ini memberi ruang kepada belia untuk belajar, memimpin dan menyumbang secara langsung kepada pembangunan komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan golongan belia masa kini sebagai lebih dinamik dan proaktif dalam mencorakkan perubahan positif dalam masyarakat.
“Berani bermimpi dan bertindak, dengan visi yang jelas serta tujuan yang kukuh,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa golongan muda supaya terus menilai peranan mereka serta berusaha meninggalkan impak yang bermakna kepada generasi akan datang.
Beliau turut berharap barisan kepimpinan baharu dapat menggalas amanah dengan penuh dedikasi, selain terus berusaha mencapai kecemerlangan demi kemajuan bersama.
Oleh Tarani Lanting