
BINTULU: Seorang lelaki berusia 37 tahun berjaya dibantu turun oleh pasukan bomba selepas mengalami sesak nafas ketika berada di kawasan rekreasi Bukit Tumbina, Bintulu petang tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada 6.00 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu digerakkan ke lokasi.
Bukit Tumbina yang terletak pada ketinggian kira-kira 500 meter dari aras laut menjadi lokasi insiden tersebut. Jentera bomba tiba di lokasi pada 6.06 petang, hanya enam minit selepas panggilan diterima.
Komander Operasi, PB Azmer Rashidi bin Mat Shah, memaklumkan bahawa mangsa dikenali sebagai Randi Unyong telah mengalami kesukaran pernafasan ketika berada di laluan pendakian.
Pasukan bomba kemudian bertindak menurunkan mangsa menggunakan pengusung secara berhati-hati sehingga sampai ke kaki bukit.

“Mangsa berjaya dibawa turun dengan selamat sebelum diserahkan kepada petugas kesihatan untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan operasi.
Mangsa seterusnya telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.
Operasi yang melibatkan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu itu menggunakan sebuah jentera Urvan dan berjaya dikawal sepenuhnya pada 6.30 petang, sebelum menamatkan operasi pada 6.55 petang.
Oleh Faizah Muzidi