Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • ChatGPT lulus peperiksaan kemasukan Universiti Jepun dengan markah tertinggi
  • GLOBAL

ChatGPT lulus peperiksaan kemasukan Universiti Jepun dengan markah tertinggi

Utusan Sarawak 7 hours ago
GAMBAR hiasan.

TOKYO: ChatGPT memperoleh markah tertinggi dalam peperiksaan kemasukan Universiti Tokyo dan Universiti Kyoto tahun ini, mengatasi markah calon terbaik, menurut LifePrompt Inc., lapor Kyodo News.

Ia memaklumkan chatbot AI generatif itu memperoleh 50 markah lebih tinggi berbanding calon terbaik dalam peperiksaan aliran perubatan Natural Sciences III Universiti Tokyo yang paling kompetitif, selain mencatat markah penuh dalam matematik. 

Pencapaian itu dilakar selepas kegagalan AI berkenaan lulus semua peperiksaan kemasukan universiti itu pada 2024.

Syarikat itu menjalankan ujian menggunakan model ChatGPT 5.2 Thinking OpenAI dengan meminta AI berkenaan menjawab peperiksaan kemasukan prasiswazah kedua-dua universiti, selepas soalan peperiksaan ditukar kepada imej data. 

Memandangkan jawapan turut melibatkan esei, ia dinilai oleh guru daripada sekolah amali utama, Kawai Juku.

ChatGPT turut menjawab soalan peperiksaan kemasukan universiti bersepadu tahun ini, dan syarikat yang berpangkalan di Tokyo itu menjumlahkan markah berkenaan.

ChatGPT memperoleh 452 daripada 550 markah dalam peperiksaan Kemanusiaan dan Sains Sosial Universiti Tokyo serta 503 daripada 550 markah dalam peperiksaan Sains Semula Jadi. 

Kedua-dua markah itu mengatasi markah tertinggi calon terbaik yang diumumkan universiti, iaitu 434 markah bagi Kemanusiaan dan Sains Sosial III serta 453 markah bagi Natural Sciences III.

Namun, AI itu memperoleh 90 peratus dalam peperiksaan Bahasa Inggeris tetapi hanya 25 peratus bagi soalan berbentuk esei dalam subjek seperti Sejarah Dunia.

Bagi peperiksaan Universiti Kyoto, AI itu memperoleh 771 markah dalam peperiksaan Fakulti Undang-Undang, mengatasi markah lulus tertinggi 734, dan 1,176 markah dalam peperiksaan Fakulti Perubatan, melebihi 1,098 markah yang dicatat calon terbaik.

Pada 2024, LifePrompt menggunakan model terkini OpenAI ketika itu, ChatGPT 4, untuk menyelesaikan soalan peperiksaan kemasukan Universiti Tokyo, namun gagal mencapai markah minimum lulus. 

Pada tahun berikutnya, LifePrompt menguji model terbaharu, o1, yang berjaya melepasi ambang kelulusan buat kali pertama.

“Keupayaan AI telah didokumentasikan dengan baik. Memandangkan evolusi AI yang sangat pantas, syarikat perlu mengguna pakai AI dengan mengambil kira bagaimana operasi perniagaan akan berubah dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang,” kata ketua LifePrompt, Satoshi Endo.

Profesor di Universiti Keio dan ketua Persatuan Kecerdasan Buatan Jepun, Satoshi Kurihara berhujah bahawa manusia dan AI tidak seharusnya bersaing di medan yang sama kerana AI cemerlang dalam menyerap sejumlah besar data sedia ada.

“Sama seperti kalkulator mampu melakukan pengiraan dengan lebih pantas dan tepat berbanding manusia, adalah sesuatu yang semula jadi untuk AI memperoleh markah tinggi,” kata Kurihara.

Beliau berkata manusia masih mempunyai kelebihan dalam mencipta nilai baharu.

Sudah tiba masanya untuk menilai semula peperiksaan kemasukan yang ketika ini menumpukan ujian terhadap keupayaan mengingat pengetahuan dan kemahiran pengiraan, katanya – Bernama

Continue Reading

Previous: Kempen “Tiada Visa, Tiada Haji” dilancar untuk perkukuh keselamatan, kemaslahatan jemaah
Next: Dua maut, beberapa cedera selepas ribut landa utara Texas

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.