PELAJAR dari SMK Dalat, Hani Juita Natasya adalah antara penerima Anugerah Ikon Pengawas sempena Penarafan dan Pertandingan Pengurusan Pembangunan Sahsiah Murid Peringkat Kebangsaan tahun 2020 baru-baru ini.
Kemenangan ini melayakkan beliau untuk mewakili Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak keperingkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh Sektor Pembangunan Sahsiah Murid Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia kelolaan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.
Pengurusan sahsiah murid di sekolah memainkan peranan penting bagi mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan memperkembangkan potensi murid secara optimum selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Inisiatif yang berfokus, usaha berterusan dan pencapaian berimpak dalam perkembangan sahsiah murid, peningkatan disiplin murid dapat melahirkan insan unggul serta Budiman.
Pengiktirafan ini juga seiring dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia menjadikan aspek kemenjadian kemanusiaan dan berasaskan nilai dengan memupuk budaya kebahagiaan, kasih sayang dan hormat menghormati sebagai asas penting bagi melahirkan generasi manusiawi Budiman dan bertanggungjawab.
Penarafan Ikon Pengawas yang bermatlamatkan memberi pengiktirafan murid-murid yang menunjukkan sahsiah terpuji yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial agar menjadi suri teladan dan ikutan bagi murid-murid lain.
Selain itu, Anugerah Ikon Pengawas juga boleh dijadikan sebagai inspirasi kepada murid lain terutama mengembangkan potensi kepimpinan murid dan satu usaha kearah kemenjadian murid secara holistik.
Hani yang merupakan murid Tingkatan 5 dan Ketua Pengawas ini bukanlah nama asing bagi warga sekolah kerana dia bukan sahaja dari segi kepintarannya di SMK Dalat tetapi juga bakat dan kebitaraan dalam beberapa bidang kesenian dan kebudayaan seperti pengacaraan majlis, penari, pidato, deklamasi sajak, pantun dan teater dalam semua penglibatannya hingga keperingkat antarabangsa khasnya dalam bidang tarian dan deklamasi puisi.
Bakat dan ciri-ciri kepimpinan yang ada dalam dirinya terpancar jelas kerana kemenjadiannya secara holistic iaitu cemerlang dalam pelajaran, cemerlang dalam sahsiah dan cemerlang dalam aktiviti kokurikulum.
Kelibat dan sumbangan luarnya sering kelihatan dalam majlis-majlis rasmi dan kemasyarakatan sebagai pengacara majlis dan penari bersama kumpulan yang dipimpinnya Tunas Tari Warisan dan GrupTeater KRIS.
Meski pun sibuk dengan aktiviti-aktiviti luar, jelas menunjukkan Hani Juita Natasya bijak menguruskan masanya.
Dia juga seorang yang sangat menghormati guru, bergaul baik dengan rakan-rakannya dan ringan tulang.
Konklusinya, dia seorang yang sangat bertanggungjawab dan konsisten dalam semua tindakannya demi juga mencapai sasaran peribadinya untuk skor 9A dalam peperiksaan bertulis SPM 2020.
Pengiktirafan ini dianugerahkan kepadanya berdasarkan kepada beberapa kriteria dan sumbangannya termasuklah sebagai Pengerusi Persatuan Pandu Puteri dan Pengerusi Kelab Teater.
Pencapaiannya dalam bidang kokurikulum amat terserlah diperingkat negeri seperti naib johan pertandingan menulis Esei Covid-19 bahagian Mukah, naib johan pertandingan pidato AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan)peringkat negeri anjuran JPNS, pertandingan menulis esei Karnival E-mas JPNS, pembentang Kumpulan Inovasi Kreatif(KIK) murid penilaian kokurikulum anjuran JPNS(Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak), Deklamator puisi berantai program negaraku sehati sejiwa anjuran Pejabat Residen Mukah.
Seterusnya di peringkat kebangsaan beliau terlibat dalam acara seperti pertandingan mencipta puisi covid-19 anjuran Perpustakaan Negara Malaysia, pertandingan penulisan menempuh covid-19 : suatu pengalaman anjuran Perpustakaan Negara Malaysia, peserta semarak puisi merdeka anjuran Persatuan Penyair Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka, penariuntuk acara program komuniti Yayasan Sukarelawan Siswa Malaysia anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Dalat, SK Sungai Ud dan JKKK(Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) Sungai Ud Dalat, Anugerah Platinum Program Semarak Teater anjuran JPN Perak (2014), Pengarah drama sekolah-sekolah menengah untuk program Jom Teater anjuran JPN Johor dengan meraih gangsa (2020),
Di peringkat antarabangsa pula beliau telah terlibat dan member sumbangan dalam acara Baca PuisiHari Guru ASEAN anjuran Persatuan Penulis Johor, deklamasi sajak santai anjuran Unit Komunikasi (PERKOM) Universiti Utara Malaysia yang melibatkan tiga negeri iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand, program Baca Puisi Dunia :Suaramu ke Riba Alam anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik dan Penyair Malaysia, Deklamasi puisi dalam Program Apresiasi Puisi Kemanusiaan Sedunia anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI MALAYSIA) serta sebagai penari untuk acara Borneo Cultural Festival (BCF).
Dalam bidang akademik pula beliau merupakan murid terbaik dalam PT3 (2018) iaitu 8A2B dan mencapai 9A dalam Pentaksiran tahun PAT T4 (2019). Dengan kemenangan ini beliau dianugerahkan sijil ikon sahsiah murid, plak dan wang tunai.
Oleh Henry b Siyu