
SARIKEI: Institusi keagamaan seperti Tokong San Nguong Sia terus memainkan peranan penting dalam menyemai nilai murni dan semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat setempat, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Katanya, sambutan ulang tahun tokong tersebut penting untuk memelihara tradisi dan nilai murni dalam masyarakat.
“Tokong ini telah lama aktif dalam kerja amal, membantu golongan memerlukan dan menyemai nilai murni dalam masyarakat.


“Semangat saling membantu ini amat penting dalam membina masyarakat yang harmoni dan progresif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis sambutan ulang tahun Tokong San Nguong Sia, baru-baru ini.
Tiong Sii turut menegaskan bahawa kerajaan sentiasa komited memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Saya akan terus berusaha mendapatkan peruntukan kerajaan bagi membangunkan kawasan luar bandar dan bandar, termasuk menaik taraf rumah panjang, memperbaiki jalan raya, meningkatkan kemudahan sekolah dan menyokong pembangunan institusi keagamaan,” katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat agar terus menyokong kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg demi memastikan kestabilan politik dan pembangunan ekonomi yang berterusan di negeri ini.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada Tokong San Nguong Sia bagi kegunaan aktiviti tahunan.
Oleh Earl Anek