
MUKAH: Penganjuran Kaul Seraheng Kakan bukan sahaja memelihara warisan masyarakat Melanau, malah dilihat berpotensi besar merancakkan sektor pelancongan budaya di daerah ini.
Sambutan yang berlangsung meriah di Tapak Kaul Tugek hari ini menarik kehadiran penduduk tempatan serta pengunjung luar, sekali gus menyuntik suasana hidup dengan pelbagai elemen tradisi dan ritual unik Melanau.

Seawal 7.00 pagi, orang ramai mula berkumpul di jeti sebelum menaiki bot menyusuri Sungai Tellian menuju ke lokasi upacara, mencipta pengalaman pelancongan yang unik apabila perjalanan diiringi alunan muzik tradisional Melanau.
Setibanya di tapak, upacara ritual diketuai oleh Bapa Kaul, Edmund Salman Tuna yang berperanan sebagai penghubung antara masyarakat dengan ‘Ipok’, memperlihatkan keunikan kepercayaan tradisi yang masih diamalkan hingga kini.
Pengunjung turut disajikan dengan persembahan tarian tradisional serta pertunjukan silat, menjadikan acara ini bukan sekadar ritual, malah satu pakej pengalaman budaya yang menarik.

Selain itu, jamuan makanan tradisional yang disediakan menambah lagi tarikan kepada pengunjung sebagai simbol kesyukuran komuniti Melanau.
Kemuncak acara menyaksikan perarakan perahu berhias di Sungai Tellian yang melibatkan sebanyak 20 penyertaan, sekali gus menjadi daya tarikan visual kepada pengunjung.
Dalam pertandingan tersebut, perahu milik Sapan Puloh muncul juara, diikuti JKKK Tellian Tradisi dan JKKK Tellian Ulu.
Bagi kategori perahu kecil, Alex Minan menjuarai pertandingan, diikuti Anak Nani @ Budug dan Clement Tani.
Dengan penganjuran yang semakin tersusun dan mendapat sambutan menggalakkan, Kaul Seraheng Kakan dilihat mampu diangkat sebagai produk pelancongan budaya utama Mukah, sekali gus memperkukuh identiti masyarakat Melanau di peringkat lebih luas.
Turut hadir memeriahkan acara, Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Hanifah Hajar Taib, ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi serta ADUN Tellian, Royston Valentine.
Oleh Tarani Lanting