

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) akan meneruskan usaha penambahbaikan papan tanda serta suar lintasan pelajar, khususnya di lintasan sekolah di bawah seliaan jalan pihak majlis.
Timbalan Pengerusi MPS, Mohammed Abdullah Izkandar Roseley berkata, inisiatif itu bertujuan meningkatkan keselamatan pelajar di samping memastikan lintasan yang lebih selamat untuk semua pengguna jalan raya.
“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Para pemandu diingatkan agar sentiasa berwaspada, terutamanya ketika menghampiri zon sekolah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau berkata, suar lintasan pelajar telah dipasang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Methodist di sini semalam sebagai sebahagian usaha mempertingkatkan keselamatan jalan raya di kawasan berhampiran sekolah.
Pemasangan suar berkenaan dilaksanakan oleh kontraktor MPS dan penambahan itu melengkapkan lagi bilangan lokasi di seluruh Sibu yang telah dilengkapi dengan kemudahan keselamatan sama sebelum ini.
Antara lokasi sedia ada termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Nangka, SMK Chung Hua di Lanang, SMK Lanang di Jalan Lada serta SMK Agama Sibu di Jalan Teng Chin Hua.
Setakat tahun ini, sekolah lain yang turut dilengkapi dengan suar lintasan pelajar ialah SMK Bandar Sibu di Jalan Ling Kai Cheng, SMK Methodist Sibu di Jalan Tun Abang Haji Openg, SJKC Methodist di Jalan Pulau, SJK Guong Ann di Kwong Ann Crescent serta SMK Tung Hua di Jalan Tun Abang Haji Openg.
Oleh Akun Giman