SIBU: Sebut sahaja kek lapis Sarawak pasti ramai yang membayangkan corak yang terdapat di bahagian dalam kek tersebut yang menjadi tarikan orang ramai untuk mencubanya.
Corak pada kek lapis Sarawak kebiasaannya dihasilkan dengan mencantumkan kek lapis pelbagai warna dan mengikut corak dan kreativiti individu yang membuatnya.
Pelbagai corak boleh dihasilkan antaranya corak bunga, bentuk huruf, geometri, dan banyak lagi.
Namun, berbeza pula dengan kek lapis yang dihasilkan oleh seorang wanita tempatan, Dayang Serimah Abang Wahap,57, yang bukan hanya bercorak di bahagian dalam tetapi juga berukir di bahagian atas kek.
Keunikan corak yang ada pada bahagian atas kek lapis ini pasti memberikan tarikan yang berlainan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya.
Setiap mata yang memandang pasti akan jatuh cinta melihat rupanya yang amat memukau.
Dayang Serimah yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Kak Dayang’ dalam kalangan penduduk tempatan ini berkata, idea asal untuk menghasilkan corak ini tercetus secara semulajadi.
“Kebanyakan corak atau ukiran yang dihasilkan pada kek lapis ini bersifat spontan, tanpa dirancang.
“Corak yang dihasilkan pada bahagian atas kek lapis ini merupakan idea saya sendiri yang terhasil secara semulajadi ketika saya mencorakkannya,” katanya.
Menceritakan detik mula terbabit dalam pembuatan kek lapis ini, ibu kepada dua cahayamata ini memberitahu, beliau mula bergiat aktif sejak empat tahun yang lalu.
Katanya, pada mulanya beliau hanya membuat kek lapis biasa sebelum mula berjinak membuat corak di bahagian atas kek.
“Atas minat dan keinginan untuk mencuba sesuatu yang baru, saya mula mencuba mengukir pelbagai jenis corak di bahagian atas kek pula.
“Ketika di awal percubaan, corak yang saya hasilkan tidak begitu menjadi. Namun, atas usaha dan latihan, akhirnya saya berjaya menghasilkan corak-corak seperti sekarang,” ujarnya.
Apa yang lebih menarik, Kak Dayang tidak menyangka corak yang dihasilkannya pada kek lapis itu menjadi tarikan ramai orang sehingga ramai yang meminta tunjuk ajar darinya.
“Atas permintaan ramai, saya mula mengadakan kelas untuk berkongsi ilmu dengan orang ramai mengenai cara-cara untuk menghasilkan corak pada kek lapis.
“Tanpa diduga juga, kelas yang saya adakan mendapat sambutan yang hangat.
“Bagaimanapun, kini saya terpaksa memberhentikan seketika jadual kelas saya disebabkan faktor keselamatan memandangkan pandemik Covid-19 masih belum reda sepenuhnya,” jelasnya.
Sementara itu, Kak Dayang memberitahu, beliau juga aktif dalam menghasilkan resepi-resepi kek lapisnya tersendiri.
Katanya, beliau kini dalam usaha untuk menambahkan koleksi resepi kek lapis ciptaannya sendiri.
Oleh NURZILLA MOHAMAD