Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Anthony Loke: Kerajaan kaji hukuman lebih berat kes memandu di bawah pengaruh dadah
  • SEMASA

Anthony Loke: Kerajaan kaji hukuman lebih berat kes memandu di bawah pengaruh dadah

Utusan Sarawak 5 hours ago
PENGHORMATAN TERAKHIR…Anthony Loke dan Oscar Ling memberikan penghormatan terakhir kepada Presiden SCCCI, mendiang Datuk Lau Cheng Kiong di kediamannya di No. 7 Jalan Sebuyau, semalam. Foto Facebook Oscar Ling

SIBU: Kerajaan sedang mengkaji peruntukan undang-undang sedia ada serta meneliti kaedah bagi mengenakan hukuman lebih tegas terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, peningkatan kemalangan maut melibatkan pemandu kenderaan komersial yang disyaki mengambil dadah mencetuskan kebimbangan serius dan mendorong semakan semula Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kerajaan komited untuk terus memperkukuhkan langkah menangani kemalangan melibatkan pemandu di bawah pengaruh dadah,” katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI), mendiang Datuk Lau Cheng Kiong di kediamannya di No. 7 Jalan Sebuyau, semalam.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan turut meneroka penggunaan sistem telematik dalam kenderaan berat dan komersial sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkat pemantauan serta pematuhan.

Menurutnya, sistem itu membolehkan pemantauan tingkah laku pemanduan secara masa nyata, termasuk kelajuan, corak membrek dan petunjuk lain bagi mengenal pasti kelakuan berisiko di jalan raya.

Katanya, beberapa penyedia teknologi swasta telah menawarkan sistem sedemikian dan kerajaan kini menilai model yang tersedia sebelum memuktamadkan rangka pelaksanaan lebih menyeluruh.

“Buat masa ini, kita menggalakkan syarikat pengangkutan mengguna pakai sistem telematik secara sukarela kerana ia membantu meningkatkan pemantauan pemandu serta memperkukuh pengurusan keselamatan secara keseluruhan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan akan memperkukuhkan penguatkuasaan pemeriksaan kesihatan wajib dan saringan dadah bagi pemandu komersial untuk memastikan pematuhan dilaksanakan dengan berkesan.

“Syarikat tidak boleh hanya bergantung kepada agensi penguatkuasaan. Mereka juga mesti menjalankan pemeriksaan kesihatan berkala dan ujian dadah ke atas pemandu.

“Jika kemalangan berlaku, tanggungjawab juga terletak pada pengendali kerana gagal memastikan pemantauan sewajarnya,” tegasnya.

Loke menambah, pengurangan kemalangan jalan raya memerlukan usaha bersama melibatkan kerajaan, pengendali pengangkutan dan masyarakat.

“Keselamatan jalan raya tidak boleh dicapai melalui penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak untuk mengurangkan risiko dan menyelamatkan nyawa,” katanya.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling.

Oleh Akun Giman

Continue Reading

Previous: Kenderaan 4WD keperluan penduduk luar bandar Sarawak, subsidi diesel jadi talian hayat
Next: KPDN rampas 5,030 liter diesel dalam operasi penguatkuasaan di Bintangor

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.