



SARIKEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarikei merampas sebanyak 5,030 liter minyak diesel dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah premis di Sungai Mador, Bintangor semalam.
Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin berkata satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau mengawal barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak berlakunya kesalahan.
“Pemeriksaan mendapati sebanyak 5,030 liter diesel disimpan di lokasi tersebut tanpa kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain minyak diesel, pihak berkuasa turut merampas sebuah lori Toyota, enam tong plastik Intermediate Bulk Containers (IBC), 17 tong jerikin plastik, tiga pam elektrik serta lapan hos getah.
“Nilai rampasan diesel dianggarkan berjumlah RM10,814.50 manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk peralatan dan kenderaan adalah RM16,044.50,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti seumpama itu melalui saluran aduan rasmi KPDN termasuk WhatsApp, e-mel, talian pusat panggilan dan aplikasi Ez ADU KPDN.- Bernama