
SIMANGGANG: Tindakan melulu seorang buruh membakar harta benda membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan dua rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Hulu Lemanak, dalam kejadian 18 April lalu.
Tertuduh, Mohd Taib Ahmad, 50, dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Intan Nurul Fareena Zainal Abidin selepas sabit atas pertuduhan melakukan khianat dengan api mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.
Mengikut fakta kes, kejadian berlaku kira-kira jam 3.17 pagi pada 18 April lalu apabila api marak dan memusnahkan dua rumah kediaman di kampung berkenaan.
Selain rumah, kebakaran itu turut memusnahkan tiga motosikal serta sebuah kenderaan yang berada berhampiran lokasi kejadian.
​Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintendan Dennis Bunyam berkata, siasatan mendapati tertuduh berada di lokasi kejadian sejurus sebelum api merebak, sekali gus menguatkan bukti penglibatannya.
Menurut beliau, hasil siasatan terperinci serta keterangan saksi berjaya membawa kepada pertuduhan di mahkamah terhadap lelaki terbabit.
Katanya, pihak polis memandang serius sebarang perbuatan khianat yang boleh mengancam keselamatan awam serta memusnahkan harta benda orang ramai.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang bertindak mengikut emosi sehingga membahayakan nyawa dan merugikan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitan hari ini.
Seksyen 436 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, namun pengakuan bersalah tertuduh diambil kira dalam menjatuhkan hukuman lebih ringan.
Oleh Adi Safarman