
LOS ANGELES: Seorang penyanyi R&B, D4vd, yang berdepan pertuduhan membunuh seorang remaja perempuan, didakwa turut menyimpan bahan tidak senonoh melibatkan bawah umur dalam telefon bimbitnya, menurut pendakwa raya Amerika Syarikat semalam.
Penyanyi berusia 21 tahun itu, yang nama sebenarnya David Burke, berdepan kemungkinan hukuman berat susulan kematian Celeste Rivas Hernandez. Pendakwa mendakwa mangsa dibunuh sebelum mayatnya dipotong dan disimpan dalam kenderaan milik suspek di kawasan Hollywood Hills.
Mangsa yang berusia 14 tahun dipercayai mempunyai hubungan dengan suspek sebelum kejadian.
Siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada April tahun lalu, dipercayai berkait dengan usaha suspek melindungi kerjayanya apabila mangsa didakwa mahu mendedahkan hubungan tersebut.
Mayat mangsa yang telah reput ditemui di dalam bonet kenderaan suspek di sebuah kawasan lot simpanan kenderaan pada September, beberapa hari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-15.
Dalam prosiding awal di Los Angeles, pendakwa raya memaklumkan bahawa pemeriksaan terhadap telefon suspek menemukan sejumlah bahan tidak senonoh melibatkan individu bawah umur, namun tidak memperincikan kandungan tersebut.
Kes berprofil tinggi ini turut mendapat perhatian antarabangsa susulan kaitannya dengan latar belakang kerjaya muzik suspek.
Suspek ditahan selepas siasatan selama tujuh bulan. Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan serius. Ujian turut mengesan kehadiran bahan terlarang dan alkohol dalam badan mangsa.
Keluarga mangsa menyatakan mereka amat terkesan dengan hasil siasatan berhubung kematian anak mereka.
Suspek bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan, termasuk membunuh, kesalahan melibatkan bawah umur dan pengendalian mayat secara tidak sah.
Kes tersebut dijangka disebut semula bagi menetapkan tarikh prosiding seterusnya. – AFP