
KEMATIAN suami pada 1979 tidak melemahkan semangat Bakiah Omar yang perlu membesarkan 10 orang anak pada ketika itu, dan kecekalan tersebut menempatkan wanita berkenaan sebagai antara pengusaha dodol berjaya di Ipoh, Perak.
Berbekalkan resipi asli, Dodol Lemak Manis Memikat Cik Ah menjadi antara kudapan masyarakat setempat, khususnya pada musim perayaan, sejak hampir lima dekad.

Berkongsi perjalanan hidup sebagai ibu tunggal dan pengusaha dodol, Bakiah yang mesra disapa Chik Ah, 89, berkata penglibatannya dalam pembuatan dodol bermula selepas beliau diselubungi kebimbangan untuk mencari wang bagi membeli baju raya anak.
“Selepas suami meninggal, saya menyara anak-anak dengan mengambil upah memetik sayur di kebun orang. Saya gunakan duit itu untuk perbelanjaan harian. Namun, apabila tiba musim raya, saya asyik memikirkan bagaimana hendak cari duit beli baju raya anak-anak,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Jasa, Chemor, di sini.

Berkemahiran membuat dodol – ilmu yang diperoleh ketika membantu jiran mengacau dodol sebagai persiapan menyambut raya dan kenduri – Chik Ah memulakan perniagaan makanan tradisional itu.
Ditemani anak ketujuhnya, Aziati Mohd Salleh yang pada masa itu berusia sembilan tahun, wanita berkenaan cekal menjunjung bakul berisi dodol, menaiki bas henti-henti menuju bandar Ipoh. Pasarannya ketika itu ialah pejabat kerajaan.
“Setiap bulan puasa, saya akan berniaga dodol di pejabat kerajaan. Saya akan duduk berdekatan dengan lif menunggu pekerja lalu-lalang sambil menawarkan dodol yang saya buat.
“Alhamdulillah, dengan semangat yang ada, jualan saya mendapat sambutan dan mula mengumpul pelanggan tetap dan wakil jualan (ejen). Wang itulah yang membantu saya menyediakan kelengkapan raya anak-anak seperti baju baharu dan sebagainya,” katanya yang berasal dari Pasir Putih, Ipoh.

Secara beransur-ansur perniagaannya mengukuh dan beliau mula menawarkan dodol pada sepanjang masa termasuk sebagai pemanis mulut di majlis keramaian dan buah tangan.
Dalam tempoh itu juga dodol buatannya melalui pelbagai inovasi; daripada dimasak menggunakan kayu kepada gas, selain menerima pelbagai bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan daripada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), iaitu agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Sementara itu, Aziati, 56, berkata ibunya sangat cerewet tentang rasa serta ramuan dodol dan memastikan hanya santan asli dan tepung beras pulut susu yang diproses sendiri digunakan dalam pembuatan juadah tersebut.

“Pembuatan dodol ini renyah kerana perlu dimasak hingga enam jam. Sepanjang tempoh itu, adunan harus sentiasa dikacau. Justeru, bantuan mesin daripada geran (perniagaan) Felcra amat membantu,” jelasnya, menambah hingga sekarang ibunya, di sebalik usia yang kian lanjut, tetap memainkan peranan dengan memantau pembuatan dodol Chik Ah.
Aziati yang berhasrat meneruskan legasi ibunya pada masa akan datang, berkata bagi memastikan kualiti, dodol hanya dibuat mengikut tempahan yang diterima daripada pelanggan di seluruh negara serta Singapura.
Wanita itu turut berkongsi yang ibunya begitu teruja apabila dodol buatan mereka mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah apabila membeli manisan tersebut baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Felcra Negeri Perak M. Zaiful Anuar Zulkifliberkata Bakiah merupakan antara 178 usahawan Felcra yang menerima bantuan geran di negeri itu dan juga usahawan paling aktif menjana pendapatan daripada produk tradisional tersebut.
Menurut beliau, Bakiah menerima geran bagi pemasangan papan tanda pada 2018 serta geran perniagaan pada 2023 dalam bentuk mesin pengacau dodol, pengisar beras pulut dan pemerah santan kelapa.
“Kita lihat perniagaan beliau berpotensi dikembangkan dan kita sasarkan untuk menembusi pasaran luar negara dalam masa tiga tahun akan datang. Kita harap ramai lagi usahawan yang mencontohi Chik Ah,” katanya.- Bernama