
TOKYO: Kementerian Komunikasi Jepun merancang untuk mewajibkan platform media sosial menjalankan pengesahan umur yang lebih ketat bagi pengguna, sebagai usaha menangani isu seperti ketagihan dan buli dalam kalangan remaja, menurut draf pelan yang dibentangkan semalam, lapor Kyodo News.
Kementerian bagaimanapun memaklumkan pengenaan sekatan menyeluruh berdasarkan umur seperti yang dilaksanakan di luar negara adalah tidak sesuai, memandangkan peranan media sosial sebagai satu alat komunikasi penting.
Cadangan dasar itu dimasukkan dalam draf pelan yang dibentangkan dalam mesyuarat pakar. Agensi Kanak-kanak dan Keluarga akan menentukan langkah khusus serta keperluan pindaan undang-undang apabila laporan akhir dijangka diserahkan menjelang musim panas.
Draf itu mencadangkan agar platform diwajibkan menilai dan mendedahkan risiko berkaitan perkhidmatan mereka, serta langkah perlindungan yang diambil untuk menjaga keselamatan pengguna muda.
Platform media sosial seperti X dan Instagram menetapkan had umur minimum 13 tahun untuk membuka akaun. Namun, pengesahan umur ketika ini hanya bergantung kepada maklumat yang diisytiharkan sendiri semasa pendaftaran, sekali gus membolehkan pengguna bawah umur melepasi sekatan.
Tahun lepas, Australia memperkenalkan larangan media sosial pertama di dunia bagi kanak-kanak bawah 16 tahun untuk melindungi mereka daripada ketagihan, buli dan risiko terhadap kesihatan mental serta fizikal.
Indonesia juga mula menguatkuasakan larangan media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun pada Mac lepas.
-Bernama