
KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mencadangkan pengiktirafan graduan cemerlang Swinburne Sarawak melalui anugerah industri, selain membuka peluang penempatan latihan kepada pelajar institusi itu.
Menurut Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris, inisiatif tersebut merupakan antara fokus utama kerjasama strategik kedua-dua pihak.
“Kita mencadangkan untuk menawarkan anugerah industri JKR Sarawak kepada pelajar Swinburne yang telah menamatkan pengajian dan menunjukkan prestasi cemerlang.
Namun cadangan tersebut masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan.
Kriteria pemilihan dan pelaksanaannya akan dibincangkan bersama pihak Swinburne sebelum diputuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dan Jabatan Kerja Raya Sarawak, di Swinburne Sarawak, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata peluang penempatan industri di JKR Sarawak akan diberikan kepada pelajar yang memenuhi keperluan jabatan.
“Kita ada keterbatasan dan sudah tentu kita tidak boleh menerima terlalu ramai pelajar, namun kita akan menilai setiap permohonan berdasarkan kesesuaian.
“Walaupun terdapat kekangan kapasiti, JKR Sarawak tetap komited membuka ruang latihan kepada sebahagian pelajar sebagai permulaan kerjasama.
“Kita boleh menerima beberapa pelajar dan saya pasti kolaborasi ini boleh diperluaskan dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Sementara itu, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) selama lima tahun antara kedua-dua institusi turut merangkumi kerjasama dalam penyelidikan, pembangunan bakat serta pelaksanaan infrastruktur berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Kerjasama tersebut dijangka memperkukuh hubungan akademia dan industri sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan di Sarawak.
Oleh Masrin Affirah