
BINTULU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menumpaskan kegiatan penyimpanan minuman keras dan rokok tidak bercukai dalam satu serbuan di sebuah gudang kosong tanpa nama pada 30 Mac lalu.
Operasi sekitar 5.00 petang itu dilaksanakan sepasukan pegawai JKDM Bintulu susulan risikan dan pemantauan yang dijalankan selama beberapa minggu.
Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 1.92 juta batang rokok serta 5,988 liter minuman keras yang disyaki tidak mempunyai kelulusan sah dan tidak mematuhi peraturan cukai ditetapkan. Kesemua barangan berkenaan telah disita untuk siasatan lanjut.

Nilai rampasan dianggarkan RM473,820, manakala jumlah duti dan cukai terlibat dianggarkan RM1,491,192.72, menjadikan keseluruhan nilai mencecah RM1,965,012.72.
Gudang terbabit dipercayai digunakan sebagai lokasi penyimpanan sementara sebelum barangan itu diedarkan ke pasaran tempatan. Bagaimanapun, kes masih dalam siasatan.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Norizan Yahya, berkata serbuan berkenaan adalah hasil maklumat risikan serta pemantauan berterusan pihaknya.
“Gudang ini dipercayai digunakan sebagai tempat penyimpanan sebelum barangan berkenaan diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya pada sidang media.
Beliau berkata, semua barangan yang dirampas dipercayai tidak melalui saluran sah dan tidak mempunyai dokumen kelulusan diperlukan, sekali gus menunjukkan cubaan mengelak pembayaran cukai.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. Individu yang didapati memiliki atau menyimpan barang tidak bercukai boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda atau hukuman penjara, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Sehubungan itu, JKDM menggesa orang awam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau penyimpanan barangan tidak bercukai melalui talian bebas tol 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran.
JKDM turut memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.
Oleh Faizah Muzidi