
DAR ES SALAAM: Tanzania berjaya memperoleh hak penganjuran edisi ke-74 Pertandingan Ratu Cantik Dunia pada Mei 2027, satu langkah yang dijangka dapat merancakkan sektor pelancongan dan meningkatkan profil negara itu di peringkat global, lapor Xinhua memetik kenyataan pegawai semalam.
Perjanjian itu ditandatangani dengan disaksikan oleh Menteri Penerangan, Kebudayaan, Seni dan Sukan Paul Makonda, yang menyifatkan perkembangan itu sebagai pencapaian besar bagi negara di Afrika Timur berkenaan.
Makonda berkata Tanzania bakal menjadi negara Afrika kedua selepas Afrika Selatan yang menjadi tuan rumah Pertandingan Ratu Cantik Dunia itu, sekali gus menjadikannya negara pertama di wilayah Afrika Timur dan Tengah yang menganjurkan acara berkenaan.
Beliau berkata lebih 130 negara dijangka menyertai pertandingan itu dengan unjuran lebih 20,000 pelawat antarabangsa akan menghadiri aktiviti yang berlangsung selama sebulan, manakala acara kemuncak dijangka menarik lebih dua bilion penonton televisyen di seluruh dunia.
“Ini bukan sekadar Pertandingan Ratu Cantik. Ia adalah platform strategik untuk mempamerkan pelancongan, budaya, peluang pelaburan serta industri kreatif Tanzania kepada dunia,” katanya.
Diasaskan pada 1951, Ratu Cantik Dunia merupakan antara pertandingan ratu cantik antarabangsa paling lama bertahan yang menghimpunkan peserta dari seluruh dunia untuk bersaing bukan sahaja dari aspek penampilan fizikal, malah bakat, kerja amal serta inisiatif impak sosial di bawah program Beauty with a Purpose.
Penganjur memaklumkan acara itu akan merangkumi siri aktiviti seperti persembahan kebudayaan, pertandingan bakat, acara amal dan malam kemuncak. – Bernama