Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Sarawak PGA rampas RM32.23 juta dalam operasi antipenyeludupan April
  • JENAYAH

Sarawak PGA rampas RM32.23 juta dalam operasi antipenyeludupan April

Utusan Sarawak 5 hours ago
PEGAWAI Pemerintah PGA, SAC Lim Bak Phai.

KUCHING: Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan 27 operasi berjaya antara 1 hingga 20 April, dengan rampasan barangan seludup bernilai RM32.23 juta di beberapa daerah di Sarawak.

Operasi yang dijalankan di bawah Op Taring Bravo, Op Taring Batas atau Awas, Op Taring Chiller, Op Taring Mitra, Op Taring Libas dan Op Hazard 3.0 itu melibatkan lokasi utama termasuk Kuching, Bintulu, Sibu, Sri Aman dan Miri.

Komander Briged PGA Sarawak, Lim Bak Phai berkata kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan pasukan dalam membanteras aktiviti penyeludupan di seluruh negeri.

“Antara kejayaan utama ialah Op Taring Chiller yang mencatatkan nilai rampasan tertinggi sebanyak RM21.3 juta, diikuti Op Taring Bravo dengan RM7.36 juta dan Op Taring Libas sebanyak RM4.57 juta,” katanya hari ini.

Beliau menambah, Op Taring Batas atau Awas menyumbang rampasan sebanyak RM3.29 juta, manakala Op Hazard 3.0 merekodkan RM1.83 juta dan Op Taring Mitra kira-kira RM60,951.

PEMERIKSAAN stor simpanan diesel.

Lim berkata, operasi itu memberi tumpuan kepada kes penyelewengan diesel dan barangan kawalan, selain penyimpanan serta pengedaran produk sejuk beku tanpa permit.

“Dalam satu kes penting, kami merampas lebih 300,000 kilogram pelbagai produk sejuk beku termasuk ayam, daging babi, daging lembu, ikan dan makanan laut lain dengan anggaran nilai keseluruhan RM15.8 juta, termasuk kemudahan stor sejuk, mesin dan peralatan pemprosesan,” katanya.

Dalam tempoh sama, briged itu turut terlibat dalam Ops Tiris 4.0 Bersepadu yang bermula pada 16 Mac dan menyasarkan ketirisan serta penyalahgunaan barangan kawalan, khususnya diesel.

“Sehingga 21 April, sebanyak 264 pemeriksaan telah dijalankan, membawa kepada pengesanan 31 kes dengan jumlah rampasan kira-kira RM13.5 juta dan 45 individu ditahan,” katanya.

Lim berkata, operasi penguatkuasaan turut membanteras pelbagai aktiviti haram lain termasuk penyeludupan minuman keras, rokok dan barangan kawalan, serta pemprosesan air ketum dan operasi sisa elektronik secara haram. Aktiviti pembalakan haram juga dikesan.

DAUN ketum ditemui.

Semua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut dan siasatan di bawah undang-undang sedia ada.

“Briged PGA Sarawak akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara agresif dan tanpa kompromi bagi membanteras penyeludupan serta jenayah rentas sempadan demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya.

Dari 1 Januari hingga 20 April tahun ini, PGA Sarawak merekodkan 243 kes di bawah Op Taring dengan jumlah rampasan RM156.63 juta dan 228 tangkapan melibatkan 182 warga tempatan serta 46 warga asing.

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: Tiga lelaki positif dadah ditahan di Lawas
Next: Seleweng dana zakat RM230 juta, SPRM tahan tiga individu termasuk Timbalan Pengerusi NGO

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.