
JAKARTA: Dua anak syarikat milik penuh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah, iaitu LCDA Holdings Sdn Bhd (LHSB) dan LCDA Agri Business Sdn Bhd (LABSB), mengharumkan nama Sarawak apabila menerima pengiktirafan berprestij pada Asia Winner Awards Night Ceremony 2026 yang berlangsung di Holiday Inn & Suites Jakarta Gajah Mada, baru-baru ini.
LHSB telah dianugerahkan Asian Best Choice Enterprise and Reputable Corporate Services Provider Award 2026 sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan prestasi serta penyampaian perkhidmatan korporat berkualiti tinggi.
Sementara itu, LABSB menerima Asia Best Choice Agricultural Activities Plantation Development Award 2026 atas pencapaian cemerlang dalam sektor pertanian dan pembangunan perladangan, di samping sumbangan dalam memperkasa amalan agribisnes mampan.
Kejayaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan LCDA dalam memacu inisiatif pembangunan mampan yang berimpak tinggi, sekali gus memperkukuh nilai merentas portfolio organisasinya.
Anugerah berkenaan ditentukan melalui proses penilaian ketat oleh panel juri profesional dengan sokongan persatuan industri dan wakil media, berdasarkan kriteria utama seperti kualiti, prestasi, tanggungjawab serta keberkesanan.

Penilaian turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan termasuk orang awam, pihak pengurusan organisasi dan pelabur bagi memastikan proses pemilihan yang telus serta berintegriti.
Majlis tersebut merupakan platform bagi menghargai organisasi yang mempamerkan kepimpinan, inovasi dan kecemerlangan merentas pelbagai industri di peringkat Asia.
Delegasi LCDA yang diketuai oleh Bibi Umizah Osman selaku Ketua Pegawai Eksekutif LABSB telah menerima kedua-dua anugerah berkenaan, yang disampaikan oleh Leo Setiawan, Naib Pengerusi Mediatama Awards Management.
Pencapaian terbaharu ini sekali gus memperkukuh kedudukan LCDA di peringkat serantau, susulan kejayaan pada Asia Corporate Excellence & Sustainability Awards 2025 di Bali sebelum ini apabila menerima Community Initiative Award, sekali gus menzahirkan komitmen berterusan terhadap pembangunan komuniti dan pertumbuhan mampan.