
KUCHING: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong Feng Nian menggesa SUPP agar tidak terus mempolitikkan isu tambang penerbangan tinggi sebagai naratif antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, rakyat lebih memerlukan penyelesaian terhadap kos perjalanan udara yang tinggi berbanding perdebatan politik yang tidak memberi manfaat.
Menurutnya, DAP Sarawak tidak menentang usaha menurunkan tambang penerbangan, malah secara konsisten menyokong langkah tersebut. Katanya, parti itu telah lama menggesa campur tangan kerajaan, yang kini direalisasikan melalui tindakan Kementerian Pengangkutan Persekutuan mengehadkan tambang semasa musim perayaan.
Tambah beliau, langkah sedemikian tidak dilaksanakan ketika pentadbiran terdahulu yang melibatkan SUPP, dan hanya bermula selepas DAP Sarawak menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.
Pada masa sama, beliau menyifatkan sebagai tidak wajar apabila SUPP mengabaikan peranan AirBorneo, sambil menegaskan bahawa walaupun pengawalseliaan diperlukan, ia perlu dilaksanakan secara seimbang agar tidak membebankan sektor swasta.
Katanya, antara pendekatan praktikal ialah membolehkan syarikat penerbangan milik kerajaan seperti AirBorneo memainkan peranan lebih besar dalam menawarkan tambang yang kompetitif dan berpatutan.
Michael turut menjelaskan bahawa sebelum ini laluan dalam Sarawak menyaksikan persaingan antara AirAsia dan MASwings. Namun, selepas pengambilalihan MASwings oleh Kerajaan Sarawak, AirBorneo kini menjadi alternatif utama dalam sektor penerbangan domestik dan perlu memikul tanggungjawab lebih besar.
Beliau mempersoalkan mengapa tambang AirBorneo sering lebih tinggi berbanding AirAsia bagi laluan yang sama, serta mengapa syarikat itu tidak memanfaatkan kedudukannya untuk menawarkan harga lebih kompetitif dan jadual penerbangan lebih baik.
Katanya, sebelum ini ramai rakyat Sarawak memilih MASwings berbanding AirAsia sebagai tanda sokongan kepada syarikat berkaitan kerajaan, dan sentimen sama turut diberikan kepada AirBorneo ketika diperkenalkan.
“Namun, faktor harga dan jadual penerbangan menyebabkan ramai beralih semula kepada syarikat penerbangan komersial seperti AirAsia,” katanya.
Michael menegaskan bahawa walaupun cabaran geografi Sarawak serta usaha pembangunan infrastruktur diakui, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk gagal menyediakan perkhidmatan penerbangan mampu milik, terutamanya apabila melibatkan dana awam dalam penubuhan AirBorneo.
Beliau berkata, isu ini bukan soal mempertahankan mana-mana menteri atau menyerang mana-mana pihak, sebaliknya memastikan semua pihak sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.
“Jika SUPP benar-benar mengakui tambang penerbangan terlalu tinggi, mereka perlu berhenti mengelak dan mula memastikan AirBorneo memenuhi standard sama seperti yang dituntut daripada pihak lain,” katanya.
Oleh Connie Chieng