
SARIKEI: Penganjuran program derma darah oleh Junior Chamber International (JCI) Sarikei menjadi platform penting membantu memastikan bekalan darah Hospital Sarikei sentiasa mencukupi.
Pengerusi penganjur, Sue Ching, berkata program yang bermula pada 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari di Unit Tabung Darah Hospital Sarikei (bilik 206) berjaya menarik kehadiran 15 peserta, baru-baru ini.
“Dari jumlah tersebut, 13 peserta berjaya menderma darah selepas menjalani proses saringan kesihatan.
“Setiap sumbangan darah yang diterima amat bermakna dalam membantu menampung keperluan bekalan darah di hospital ini.
“Kami berharap lebih ramai masyarakat akan tampil menyertai program derma darah anjuran JCI Sarikei yang akan datang pada Julai nanti sebagai usaha bersama membantu pesakit yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, program tersebut akan dilaksanakan secara berkala sebagai sebahagian usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menderma darah secara sukarela.
“Sebagai tanda penghargaan, para penderma darah turut menerima cenderamata berupa minuman kotak 250 mililiter (ml), biskut dan beras seberat satu kilogram hasil tajaan Willy Drinking Water dan Wellcome Enterprise.
“Program ini dianjurkan dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Sarikei dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi bagi kegunaan pesakit di hospital,” katanya.
Turut hadir, Penasihat Undang-Undang JCI Sarikei, Chan Tak Kieng dan Penasihat JCI Sarikei, Stephen Ngu.
Oleh Earl Anek