SEAWAL 7.00 pagi, penulis mengagahkan diri turun ke pasar mencari bahan masakan untuk menu masakan yang popular di kalangan rakyat Sarawak.
Setiba di Pasar Sungai Nyelong, mata penulis tertumpu kepada gerai-gerai sayuran segar dan gerai-gerai menjual salai ikan, ikan masin, ikan bilis, cencalok, belacan dan pelbagai makanan kering hasil laut.
Gerai-gerai ini menjadi pilihan penulis untuk mencari bahan masakan ini kerana ia tidak jauh antara satu sama lain.
Cari bahan masakan ini di satu tempat saja dan tidak perlu ke tempat lain.
Masih ada yang tertanya apakah menu masakan yang dimasak oleh penulis hari ini?
Bahan masakan yang penulis cari di Pasar Sungai Nyelong ini ialah buah terung asam atau lebih dikenali sebagai buah terung Dayak dan salai ikan lumek.
Salai ikan lumek berharga dalam lingkungan RM60 sekilogram dan buah terung Dayak berharga dalam lingkungan RM12 sekilogram.
Penulis mencari cili untuk dicampur bersama salai ikan lumek dan terung Dayak sebagai penambah rasa yang lebih menyengat.
Selepas membeli bahan masakan ini, penulis segera kembali ke rumah, tak sabar hendak masak masakan ini yang sememangnya sedap dimakan.
Salai ikan lumek dimasak bersama buah terung Dayak sememangnya antara makanan di Sarawak yang tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.
Langkah-langkah memasaknya juga cukup senang dan tidak perlu merujuk dari laman-laman resepi di media sosial atau buku resepi.
Langkah pertama, basuh buah terung Dayak dan dipotong satu persatu. Buang biji terung Dayak dan ketepikan buah terung yang telah selesai dipotong.
Seterusnya, tumbuk cili bersama seketul kecil belacan, dua ulas bawang putih dan bawang merah.
Selepas ditumbuk halus, ketepikan sebentar dan langkah seterusnya, basuh salai ikan lumek dan potong menggunakan pisau atau gunting.
Sediakan kuali atau periuk untuk proses memasak salai ikan lumek dan terung Dayak.
Langkah memasaknya juga amat mudah dan tidak memerlukan jangka lama untuk dimasak.
Jika terlebih masak, ia akan menghancurkan salai ikan lumek dan terung Dayak.
Langkah pertama, panaskan kuali dan masukkan sesudu kecil minyak masak dan tumiskan cili, belacan, bawang putih dan bawang merah yang telah ditumbuk.
Tumis sebentar sehingga naik bau dan masukkan terung Dayak yang telah dipotong.
Tumis terung Dayak sekitar tiga minit dan kemudian jerangkan semangkuk besar air dalam kuali.
Masak menggunakan api sederhana kecil dan tunggu kuah lauk mendidih dalam 10 ke 15 minit.
Selepas mendidih, masukkan salai ikan lumek yang telah dipotong dan tambah dua cubit garam dan serbuk perasa atau secukup rasa.
Gaul dan didihkan selama 15 minit ke 20 minit atau sehingga kulit buah terung terkupas sedikit dan kemudian tutup api.
Masukkan dalam mangkuk dan ia sedia untuk dihidangkan.
Nikmati bersama nasi ketika lauk masih panas dan yang pasti rasanya menaikkan selera makan. Selamat mencuba!
Oleh EARL ANEK