NIAH : Hasrat penduduk rumah panjang di Zon Saeh untuk mempunyai sebuah Tabika Kemajuan Masyarakat (KEMAS) belum kesampaian ekoran tidak mempunyai tapak bersesuaian.
Penolong Pegawai Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS Parlimen Sibuti, Murni Bulan Engkong berkata bahawa buat masa ini kelas Tabika KEMAS Rumah Mentali Saeh terpaksa menumpang di Dewan Saeh ketika ini.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja oleh Pengarah KEMAS Sarawak Khairuddin Mohammad Nasir ke tiga kawasan iaitu Kampung Bulau, Dadang dan Zon Saeh Niah semalam.
Katanya, kelas Tabika KEMAS Saeh terpaksa membuat penyambungan bangunan di tepi Dewan Saeh kerana tidak mempunyai tapak tanah yang sesuai untuk pembinaan bangunan baharu.
“Terdapat tapak yang dicadangkan tetapi tidak sesuai kerana kawasan rendah dan kawasan kerap banjir. Kawasan Saeh yang mempunyai 16 buah rumah panjang hanya mempunyai sebuah tabika pada masa ini,” jelasnya.
Utusan Sarawak turut difahamkan bahawa kawasan Niah mempunyai tujuh Tabika KEMAS dan sebuah taska di Kampung Tanjung Berlipat.
Selain itu, pihak Tabika KEMAS Kampung Dagang (Bekenu) turut memohon sebuah bangunan baharu namun tidak mempunyai tapak yang sesuai setakat ini.
Bangunan baharu diperlukan oleh Tabika KEMAS Kampung Dagang kerana bangunan sekarang didapati kurang selamat dann tidak dapat menampung penambahan murid untuk sesi persekolahan akan datang.
Tabika KEMAS Kampung Dagang dibina pada tahun 1995 dan di bangunan ini juga dijalankan kelas jahitan.
Turut serta dalam lawatan ini ialah Pengarah KEMAS Sarawak Khairuddin Mohammad Nasir dan Pegawai KEMAS Bahagian Miri Josipah Sabas serta TR. Ipat Bakar.
Oleh Adum Liu