
MADINAH: Melangkah tenang di lorong sempit pesawat dengan senyuman yang sentiasa terukir, kru penerbangan menjadi wajah pertama menyambut para tetamu Allah (Duyufurrahman), seterusnya setia mengiringi mereka dalam setiap detik perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tanah Suci.
Di sebalik uniform kemas pramugari dan pramugara AMAL, anak syarikat Malaysia Airlines Berhad yang mengendalikan penerbangan sewaan umrah dan haji, tersimpan tanggungjawab besar dipikul dengan penuh dedikasi untuk bukan sahaja memastikan keselamatan dan keselesaan, malah menjadi penenang kepada para jemaah yang kali pertama menjejakkan kaki ke perjalanan suci ini.
Pramugari AMAL Nurjannahadibah Naim, 36, berkata kebanyakan jemaah haji yang dibawa adalah warga emas, sekali gus memerlukan pendekatan lebih lembut dan penuh kesabaran.
“Ramai dalam kalangan mereka kali pertama menaiki pesawat. Kita faham perasaan itu, jadi kita cuba dampingi dan beri keyakinan supaya mereka tidak rasa keseorangan sepanjang perjalanan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui dalam pesawat A330 yang membawa 284 jemaah haji, bagi penerbangan kedua dari Kuala Lumpur ke Madinah.
Katanya, sentuhan kecil seperti membetulkan selimut, memimpin jemaah ke tempat duduk, atau sekadar bertanya khabar sering memberi makna besar kepada para penumpang.
Mengimbau pengalamannya bertemu seorang jemaah wanita warga emas berkerusi roda yang menunaikan haji seorang diri, Nurjannahadibah berkata semangat wanita itu walaupun uzur dan tanpa teman amat menyentuh hati.

Sementara itu, Penyelia kru penerbangan AMAL Kamarul Hisham Kamarulzzaman, 59, berkata pengalaman lebih 36 tahun dalam industri penerbangan banyak membentuk pendekatannya dalam menyantuni jemaah.
“Kami anggap mereka seperti ibu bapa sendiri. Daripada mereka masuk pesawat hingga tiba di destinasi, kami cuba pastikan mereka selesa dan bantu dari segi tempat duduk, makanan serta keperluan lain,” katanya.
Beliau berkata pendekatan berteraskan empati itu penting, terutama apabila berdepan jemaah warga emas atau uzur, sambil menambah bahawa antara detik paling memberi kesan adalah apabila mendengar sendiri kisah jemaah selepas menunaikan haji.
“Ada yang datang dalam keadaan sakit, tetapi dengan izin Allah mereka mampu menyempurnakan ibadah. Bila mereka berkongsi pengalaman, kita sendiri rasa sebak,” katanya.
Kamarul Hisham berkata terdapat juga pengalaman yang menguji emosi kru, termasuk berdepan situasi jemaah meninggal dunia dalam perjalanan, namun pengalaman sedemikian memperkukuh lagi rasa tanggungjawab mereka dalam menggalas amanah besar itu.

Seorang lagi kru AMAL Sharmila Rahman, 36, mengambil pendekatan berbeza untuk mencipta kenangan bermakna buat jemaah termasuk membantu merakam gambar mereka bersama pasangan atau rakan di dalam pesawat.
“Kita tak tahu bila kita tiada. Dapat pergi haji ini pun satu ibadah yang besar, jadi kita bantu abadikan momen dalam pesawat bersama pasangan atau keluarga supaya menjadi tanda kenangan,” katanya.
Anak jati Mukah, Sarawak itu berkata layanan kecil seperti itu kadangkala memberi nilai emosi yang besar kepada jemaah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang menganggap perjalanan haji sebagai peluang sekali seumur hidup.
-Bernama