
KUCHING: Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen menggesa Majlis Bandaraya Miri (MBM) mengurangkan kadar taksiran bagi semua unit di Pusat Beli-belah Merdeka Miri sekurang-kurangnya 50 peratus, berikutan penutupan berpanjangan pusat beli-belah itu serta ketiadaan perkhidmatan sejak 2019.
Chong yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak berkata perkara itu dibangkitkan susulan rayuan seorang pemilik unit, Peter Wong, yang memohon bantuan berhubung caj kadar taksiran yang dikenakan ke atas lot kedainya di pusat beli-belah tersebut.
Menurut Chong, Wong telah menulis kepada MBM pada penghujung 2025 untuk memohon pengurangan 50 peratus bagi tahun taksiran 2024 dan 2025 atas alasan pusat beli-belah itu telah ditutup dan tidak berpenghuni selama beberapa tahun.
Bagaimanapun, bukannya berunding dengan pemilik hartanah tersebut, pihak MBM dilaporkan telah melantik firma guaman untuk mengeluarkan surat tuntutan bagi bayaran penuh kadar taksiran.
Chong menyifatkan tindakan MBM itu sebagai keras dan tidak wajar, sambil menambah bahawa pendekatan sedemikian mencerminkan imej buruk terhadap pihak berkuasa tempatan yang sepatutnya berkhidmat kepada rakyat.
Beliau berharap agar perhatian sewajarnya dapat diberikan terhadap rayuan orang ramai.
Dari sudut perundangan, Chong berhujah bahawa kadar taksiran sepatutnya dikurangkan secara ketara berikutan penutupan pusat beli-belah tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa di bawah Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996, kadar taksiran dikira berdasarkan nilai tahunan boleh nilai yang ditakrifkan sebagai anggaran sewa tahunan yang munasabah bagi sesuatu hartanah.
“Dalam kes ini, memandangkan pusat beli-belah itu telah ditutup dan unit tersebut tidak boleh disewakan, nilai tahunan boleh nilai sepatutnya sifar dan kadar taksiran juga sepatutnya sifar,” katanya.
Chong menambah bahawa majlis juga bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan seperti kutipan sisa pepejal, penyelenggaraan pembetungan, lampu jalan dan penyelenggaraan jalan sebagai balasan kepada kadar taksiran yang dikutip.
Beliau menegaskan bahawa memandangkan pusat beli-belah itu masih ditutup dan tidak berpenghuni, kadar taksiran wajar dipertimbangkan semula supaya lebih selaras dengan keadaan semasa dan perkhidmatan yang disediakan.
“Sebagai pihak berkuasa tempatan, majlis mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk tidak mengutip bayaran bagi perkhidmatan yang tidak diberikan,” katanya.
Chong turut mendakwa bahawa kadar taksiran penuh terus dikutip daripada pemilik unit sejak 2019 walaupun tiada penghuni dan perkhidmatan disediakan.
Beliau menggesa MBM supaya bertindak secara bertanggungjawab dengan mengurangkan kadar taksiran sekurang-kurangnya 50 peratus serta memulangkan bayaran lebihan kepada pemilik hartanah yang terjejas.
“Pihak MBM perlu berlaku adil dan berintegriti dalam menangani isu ini, khususnya dengan mengambil kira keadaan yang dihadapi oleh pemilik hartanah,” katanya.
Oleh Connie Chieng