
SONGKHLA: Kumpulan pertama 341 jemaah haji Thailand dijadual berlepas ke Tanah Suci pada pagi Sabtu menerusi penerbangan sewa khas Saudi Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai.
Timbalan Gabenor Wilayah Songkhla, Ramadon Awae berkata seramai 7,039 jemaah dari Thailand mendapat kelulusan daripada Arab Saudi untuk menunaikan fardu haji tahun ini.
“Daripada jumlah itu, seramai 4,668 jemaah akan berlepas dari wilayah selatan Thailand melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai, manakala selebihnya dari lapangan terbang di Bangkok dan Phuket,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai di sini, Jumaat.
Beliau berkata konflik di Asia Barat menyebabkan kerajaan Thailand menukar perkhidmatan penerbangan daripada Thai Airways kepada Saudi Airlines sebagai langkah keselamatan.
“Bagi mengelakkan laluan udara yang melalui kawasan konflik di Asia Barat, kami telah berhubung dengan Kedutaan Besar Arab Saudi di Bangkok sebelum memutuskan untuk menggunakan perkhidmatan Saudi Airlines pada tahun ini.
“Saudi Airlines menyediakan penerbangan terus tanpa melalui ruang udara kawasan konflik. Kami mahu memastikan semua jemaah haji dapat menunaikan fardu haji dengan selamat, termasuk ketika perjalanan pergi dan pulang,” katanya.
Ramadon menjelaskan sebanyak 26 penerbangan khas disediakan oleh Saudi Airlines tahun ini, melibatkan tempoh operasi dari 18 April hingga 20 Mei serta 1 Jun hingga 25 Jun.
Selain itu, beliau turut menasihatkan semua jemaah haji supaya tiba lebih awal di lapangan terbang bagi mengelakkan kesesakan.
“Sepanjang musim haji ini, lebih daripada 8,000 ahli keluarga dijangka hadir ke lapangan terbang setiap hari. Oleh itu, semua bakal jemaah haji dinasihatkan supaya datang lebih awal,” katanya.- Bernama