
KABONG: Projek pembinaan gelanggang futsal baharu di Kampung Alit dengan kos berjumlah RM300,000 kini telah siap sepenuhnya, sekali gus menyediakan kemudahan sukan moden kepada penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, projek tersebut merupakan antara inisiatif di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang memberi fokus kepada peningkatan kemudahan asas dan kesejahteraan komuniti.
Menurut beliau, projek bina baharu gelanggang futsal Kampung Alit itu telah dilaksanakan oleh Syarikat Darmiza Enterprise bermula pada 1 Oktober 2025 dan berjaya disiapkan pada awal April tahun ini mengikut jadual yang ditetapkan.
“Dengan siapnya kemudahan ini, saya berharap penduduk Kampung Alit dapat memanfaatkannya sepenuhnya, khususnya golongan belia dalam mengisi masa lapang dengan aktiviti sihat dan berfaedah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan bersama Ketua Kaum Kampung Alit, Majlan Julaihi bagi meninjau sendiri hasil pelaksanaan projek tersebut, semalam.
Dalam pada itu, Chee Kadir turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas kelulusan peruntukan yang telah membolehkan projek ini direalisasikan demi manfaat rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
Tambah beliau, pembangunan kemudahan sukan seperti gelanggang futsal bukan sahaja mampu menggalakkan gaya hidup sihat, malah berpotensi menjadi platform mengeratkan hubungan sosial dalam kalangan penduduk setempat.
Projek berkenaan dilihat sebagai satu lagi bukti komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan luar bandar terus diperkasa, selaras dengan usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat secara menyeluruh.
Oleh Adi Safarman