
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen, mendedahkan satu lagi kes melibatkan seorang belia yang kini berdepan akibat serius selepas meminjamkan namanya untuk membuka akaun bank.
“Seorang belia berusia 19 tahun meminjamkan namanya kepada seorang rakan untuk membuka akaun bank pada 2024, dan kini mendapati dirinya disenarai hitam dalam sistem perbankan serta tidak dapat membuka akaun di mana-mana bank,” katanya.
Chong berkata, belia tersebut hadir menemuinya pagi ini bersama ibu bapanya bagi mendapatkan bantuan.
“Pada 2024, tanpa pengetahuan ibu bapanya, beliau membenarkan rakannya menggunakan namanya untuk membuka akaun di CIMB Bank dan memberi kebenaran kepada rakannya untuk mengendalikan akaun tersebut. Rakannya berjanji untuk membayar RM400 sebulan, namun bayaran itu tidak pernah diterima.
“Selepas beberapa ketika, beliau pergi ke CIMB Bank untuk menutup akaun tersebut dengan anggapan semuanya telah selesai,” katanya.
Namun, keadaan menjadi lebih serius apabila beliau diminta oleh majikan untuk membuka akaun bank bagi tujuan pembayaran gaji.
“Apabila beliau cuba membuka akaun di beberapa bank, permohonannya ditolak. Beliau dimaklumkan bahawa pada Februari 2024, akaun yang digunakan oleh rakannya itu telah terlibat dalam kegiatan penipuan. Satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa yang menyatakan nombor akaun dan namanya,” jelas Chong.
Menurutnya, walaupun akaun tersebut telah ditutup, nama belia itu kini disenarai hitam bank-bank di Malaysia.
“Akibat tidak dapat membuka akaun bank, beliau telah kehilangan pekerjaan. Keadaan ini menimbulkan tekanan yang besar kepada beliau dan keluarganya,” katanya.
Chong berkata, memandangkan mangsa penipuan tinggal di Pulau Pinang, kes tersebut akan disiasat dan jika perlu didakwa di sana.
“Sehingga kes ini selesai, namanya akan kekal dalam senarai hitam.
“Saya sedang membantu mempercepatkan siasatan dan, jika pendakwa raya memutuskan untuk mendakwa, memastikan kes ini dapat diselesaikan dengan segera di Mahkamah Pulau Pinang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai, khususnya golongan belia agar lebih berhati-hati.
“Saya ingin menasihatkan orang ramai, terutamanya golongan muda supaya tidak membenarkan sesiapa menggunakan nama anda untuk membuka atau mengendalikan akaun bank atau akaun keldai. Jika ada bayaran yang dijanjikan, ia tidak berbaloi.
“Akaun seperti ini sering digunakan untuk menipu orang lain dan pemegang akaun boleh dianggap sebagai rakan subahat dalam penipuan,” tegasnya.
Oleh Connie Chieng