
KOTA SAMARAHAN: Bermula sekadar hobi menggunting rambut rakan dan ahli keluarga, seorang pemuda kampung kini berjaya menjadikan minatnya sebagai sumber pendapatan sampingan.
Nathaniel Milon, 26, yang memiliki Diploma Kejuruteraan Mekanikal, mengambil keputusan membuka kedai gunting rambut kecil di kampungnya walaupun mempunyai pekerjaan tetap, bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
Menurutnya, minat mendalam dalam bidang berkenaan menjadi dorongan utama untuk terus menceburi perniagaan tersebut meskipun memerlukan pengorbanan masa dan tenaga.
“Pada awalnya saya hanya gunting rambut di rumah. Bila pelanggan makin ramai, saya nekad buka kedai kecil walaupun perlu bahagi masa dengan kerja tetap,” katanya.

Beliau mengakui cabaran utama adalah kekangan masa serta jumlah pelanggan yang tidak menentu, namun tetap berusaha memberikan perkhidmatan terbaik setiap kali berkesempatan.
Suasana kampung yang mesra turut menjadi kelebihan apabila hubungan bersama pelanggan lebih rapat dan santai, sekali gus menjadikan kedainya pilihan penduduk setempat.
Menariknya, Nathaniel hanya menggunakan peralatan asas pada peringkat awal sebelum beransur-ansur menambah kelengkapan mengikut kemampuan.
Selain di kedai, beliau turut menawarkan perkhidmatan gunting rambut ke rumah pelanggan, khususnya warga emas yang mempunyai kekangan pergerakan.
Nathaniel berharap dapat mengembangkan perniagaan tersebut pada masa hadapan serta menggalakkan golongan muda supaya berani memulakan sesuatu walaupun secara kecil-kecilan.
Oleh Norman B