KAMPALA: Seramai 16 orang terbunuh dalam tempoh 48 jam susulan pertempuran di antara pasukan keselamatan Uganda dengan penyokong pemimpin pembangkang yang ditahan, Bobi Wine.
Ketua Polis Kampala, Moses Kafeero, berkata kira-kira 350 orang ditahan kerana menjarah, merosakkan harta benda, mengganggu lalu lintas, merompak dan mencuri ketika merusuh.
“Angka kematian terkini seramai 16 orang, 45 orang cedera termasuk parah,” katanya.
Ketegangan di bandar itu tercetus menjelang pilihan raya presiden dua bulan lagi yang dijadual berlangsung pada 14 Januari ini.
Pasukan keselamatan Uganda melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah terhadap perusuh yang mencetuskan kebakaran, membina sekatan jalan dan menjarah kedai di bandar itu bagi meredakan ketegangan.
Bobi Wine atau nama sebenarnya Robert Kyagulanyi yang juga seorang bintang popular, adalah calon presiden yang ditahan pada Rabu lalu kerana didakwa melanggar peraturan mengawal penularan COVID-19 ketika berkempen kerana menghimpunkan ramai orang.
Bantahan tercetus pada Rabu lalu selepas polis mengumumkan tujuh orang maut susulan penahanan Wine. Wine dilihat menjadi pencabar utama kepada Presiden Yoweri Museveni yang berhasrat mengekalkan kuasanya bagi penggal keenam.
Museveni, 76, adalah bekas pemimpin pemberontak yang merampas kuasa pda tahun 1986 dan menjadi antara pemimpin paling lama memerintah di negara benua Afrika.
Wine sering ditahan pihak berkuasa sejak akhir-akhir ini terutama selepas menyerahkan borang pencalonan presiden selain beberapa konsertnya turut dibatalkan manakala kempennya sering berakhir dengan tembakan gas pemedih mata pihak polis.
Dalam pada itu, jurucakap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York, Stephane Dujarric turut menggesa Wine segera dibebaskan.
Dua lagi calon presiden, Henry Tumukunde dan Gregory Mugisha Muntu menangguhkan kempen mereka sehingga badan pilihan raya negara itu mengambil tindakan sewajarnya terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai keganasan polis pada calon pembangkang.
Sementara itu, rusuhan kecil berterusan di Kampala dan bandar utama lain membabitkan kumpulan remaja yang membuat sekatan jalan, mencetuskan kebakaran dan bertempur dengan polis sehingga pihak keselamatan terpaksa melepaskan gas pemedih mata serta menembak peluru getah dan peluru hidup dalam kes tertentu. – AFP