Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Usahawan IKS beri inspirasi, Nurul Asyiqin tekad ubah haluan
  • INSPIRASI

Usahawan IKS beri inspirasi, Nurul Asyiqin tekad ubah haluan

Utusan Sarawak 17 hours ago
PENGUSAHA Biskut Cocokins, Nurul Asyiqin Mohamad Ramli menunjukkan produk biskut yang dihasilkan dalam pelbagai jenis rasa iaitu cip coklat, dark chocolate, red velvet dan pistasio pada harga serendah RM7. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Pengalaman menemani ibunya melawat rakan pengusaha biskut di Sabak Bernam, Selangor tujuh tahun lalu menjadi titik perubahan buat Nurul Asyiqin Mohamad Ramli untuk beralih daripada perniagaan kek kepada pembuatan biskut.

Tertarik dengan potensi pendapatan tinggi selepas mengetahui rakan ibunya meraih jualan sehingga RM1.8 juta dalam tempoh empat bulan, beliau mula mempertimbangkan hala tuju baharu. Sebelum itu, perniagaan kek yang diusahakan secara kecil-kecilan hanya menjana sekitar RM200 seminggu.

Memulakan perniagaan kek pada 2017, keputusan beralih ke biskut pada awalnya mendapat bantahan keluarga. Namun, Nurul Asyiqin nekad dan memulakan perniagaan baharu tanpa modal besar, hanya bergantung kepada bantuan RM3,000 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk membeli peralatan asas.

Beliau melancarkan jenama Cocokins pada penghujung 2019 dengan menawarkan pelbagai jenis biskut pada harga RM25 sebalang. Bagaimanapun, perniagaan itu berdepan cabaran besar ketika pandemik COVID-19 apabila jualan merosot dan lebih 2,000 balang biskut dipulangkan oleh ejen menjelang Aidilfitri 2021, menyebabkan kerugian besar.

BISKUT yang dimasukkan dalam kapsul plastik lebih kecil memudahkan pelanggan menikmati biskut keluaran Nurul Asyiqin Mohamad Ramli dimana-mana sahaja kerana senang dibawa berjalan mahupun dalam beg peribadi. Foto Bernama

Tidak berputus asa, Nurul Asyiqin meneruskan perniagaan secara kecil-kecilan sambil meningkatkan kemahiran pemasaran melalui kursus dalam talian. Pada 2022, beliau sekali lagi menerima bantuan MAIWP sebanyak RM10,000 dengan kerjasama SME Corp Malaysia untuk mengembangkan perniagaan.

Bagi menghadapi persaingan sengit, beliau memperkenalkan inovasi biskut dalam bentuk kapsul bersaiz kecil pada harga RM7, yang lebih mampu milik dan mudah dibawa. Produk tersebut mendapat sambutan positif serta membantu memperluas rangkaian ejen dan pasaran ke beberapa negeri termasuk Johor dan Terengganu.

Kini, Cocokins turut dipasarkan di stesen minyak, hospital dan kafe agensi kerajaan sekitar Lembah Klang, selain bekerjasama dengan jenama makanan tempatan terkenal. Dengan bantuan dua pekerja sambilan, Nurul Asyiqin mampu menghasilkan 500 hingga 700 unit produk sebulan, dengan pendapatan mencecah lima angka dan meningkat sehingga sekitar RM100,000 pada musim perayaan.

PENGUSAHA Biskut Cocokins, Nurul Asyiqin Mohamad Ramli juga meletakkan coklat tambahan pada biskut supaya pelanggan lebih tertarik untuk membeli produk beliau. Foto Bernama

Pada November 2025, beliau dinobatkan sebagai juara Projek Bangkit, program realiti keusahawanan anjuran MAIWP dan TV Alhijrah, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berjaya.

Nurul Asyiqin berkata kejayaan itu bukan sahaja membuka peluang baharu kepada perniagaannya, malah membantu meningkatkan pengenalan jenama Cocokins di seluruh negara.- Bernama

Continue Reading

Previous: Transformasi hidup Victor Lim Chi Chuan: Dari wartawan ke cef
Next: Hasil kebun, ternakan beri manfaat komuniti dapatkan sayur, telur ayam segar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.