Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Rabies ancam nyawa, Sarawak perhebat vaksinasi termasuk kaedah oral
  • KESIHATAN

Rabies ancam nyawa, Sarawak perhebat vaksinasi termasuk kaedah oral

Utusan Sarawak 8 hours ago
DITEMUI MEDIA… Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom ketika ditemui media pada Program Vaksinasi Oral Rabies (ORV) di sekitar Taman Malihah, hari ini. Foto Norman B

PETRA JAYA: Sarawak merekodkan tiga kematian akibat rabies setakat tahun ini, sekali gus memperkukuh keperluan tindakan segera dan berterusan bagi mengekang penularan penyakit berbahaya itu.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, rabies merupakan isu kesihatan awam yang amat serius kerana melibatkan soal hidup dan mati, dengan anjing dikenal pasti sebagai pembawa utama virus berkenaan.

Beliau berkata, sejak kes pertama rabies dikesan pada 2017, Sarawak terus berdepan cabaran mengawal penyakit itu meskipun pelbagai usaha telah dilaksanakan termasuk program kesedaran dan vaksinasi meluas.

“Setakat ini, sebanyak 93 kes rabies dalam kalangan manusia direkodkan, dengan 86 daripadanya berakhir dengan kematian, manakala hanya tujuh individu terselamat, namun ada yang masih memerlukan rawatan jangka panjang,” katanya.

DATO Sri Dr Stephen Rundi Utom memberi vaksinasi oral kepada anjing semasa Program Vaksinasi Oral Rabies (ORV) di sekitar Taman Malihah, hari ini. Foto Norman B

Tambah beliau, antara cabaran utama ialah tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah terhadap bahaya rabies, selain peningkatan populasi anjing terbiar serta pergerakan haiwan merentas sempadan.

Menurutnya, anjing terbiar lazimnya agresif atau sukar didekati kerana takut kepada manusia, malah mampu mengenal pasti kehadiran pasukan penguat kuasa, sekali gus menyukarkan usaha menangkap dan memvaksin haiwan tersebut.

Sehubungan itu, beliau menegaskan peranan penguatkuasaan amat penting bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan hampir 700 anjing telah diliputi melalui program vaksinasi oral setakat ini, dengan kerjasama baik daripada penduduk setempat termasuk pemilik anjing berlesen dan tidak berlesen.

“Sepanjang dua hari pelaksanaan, sebanyak 692 umpan vaksin telah diedarkan dan kita menyasarkan antara 1,800 hingga 2,000 dos untuk kawasan Satok, Desa Wira, Batu Kawa dan Taman Malihah yang dianggarkan mempunyai kira-kira 3,000 ekor anjing,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Vaksinasi Oral Rabies (ORV) di sekitar Taman Malihah, di sini, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat termasuk Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA), Datin Sri Dona Drury Wee serta pasukan veterinar dan kesihatan yang komited menjayakan program tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata pendekatan vaksinasi oral diharap dapat meningkatkan liputan imunisasi khususnya dalam kalangan anjing terbiar, selain berpotensi diperluas ke kawasan lain sekiranya terbukti berkesan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan sekiranya digigit atau dicakar haiwan dengan membasuh luka dan terus ke hospital untuk menerima vaksin tanpa berlengah.

“Pencegahan amat penting kerana apabila pesakit mendapatkan rawatan pada peringkat lewat, peluang untuk diselamatkan adalah sangat tipis,” tegasnya.

Beliau berkata kerajaan negeri menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) sifar kematian rabies menjelang 2027, walaupun mengakui usaha menghapuskan gigitan anjing sepenuhnya adalah sukar.

“Namun, kita boleh pastikan tiada lagi kematian akibat rabies jika kesedaran, tindakan pantas dan kerjasama semua pihak dipertingkatkan,” ujarnya.

Oleh Norman B

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: MK International sasar bantu lebih ramai kembali sihat dan cantik melalui teknologi
Next: Diet tinggi garam dikaitkan dengan kemerosotan memori lelaki – Kajian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.