Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Sinergi Persekutuan–Sarawak: Penyampaian berimpak tinggi
  • KOLUMNIS

Sinergi Persekutuan–Sarawak: Penyampaian berimpak tinggi

Utusan Sarawak 9 hours ago

PENYERAHAN pelaksanaan 80 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai RM3.47 bilion kepada kerajaan Sarawak merupakan satu langkah penting dalam landskap pembangunan negara yang harus dilihat secara tepat dan seimbang sesuai dengan  game changer dan quick win dasar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mewakili Kerajaan Pusat kepada negeri.

Ia bukanlah suatu pemindahan kuasa sepenuhnya daripada Kerajaan Persekutuan, tetapi satu bentuk pemerkasaan pelaksanaan di peringkat negeri dalam kerangka kerjasama strategik.

Kerajaan Persekutuan melalui KKDW kekal sebagai penyedia dasar dan peruntukan, manakala kerajaan Sarawak dipertanggungjawabkan untuk mempercepat pelaksanaan melalui kapasiti institusinya.

Kematangan hubungan

Penyerahan rasmi yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan satu tahap kematangan hubungan Persekutuan–negeri yang semakin pragmatik.

Di bawah kepimpinan Abang Johari, Sarawak telah menunjukkan keupayaan institusi yang semakin kukuh dalam mengurus pembangunan berskala besar, khususnya dalam sektor utiliti dan infrastruktur asas.

Justeru, keputusan ini selari dengan aspirasi menghayati yang lebih tersusun dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), seterusnya mengukuhkan kesepaduan dasar dan perpaduan nasional.

Yang lebih signifikan ialah mekanisme langkah ini membuka ruang kepada pengoptimuman penyampaian perkhidmatan asas. Selama ini, antara cabaran utama dalam pelaksanaan projek luar bandar ialah birokrasi berlapis dan ketidakselarasan antara peringkat persekutuan dan negeri.

SISTEM bekalan air di luar bandar di Sarawak adalah satu keperluan asas.

Dengan pelaksanaan kini diserahkan kepada JBALB Sarawak, proses membuat keputusan dijangka menjadi lebih pantas, responsif dan selari dengan keperluan sebenar di lapangan.

Ini amat penting dalam konteks Sarawak yang mempunyai cabaran geografi unik seperti kawasan pedalaman yang luas, taburan penduduk rendah serta kebergantungan kepada laluan sungai dan akses terhad.

Pengubah keadaan

Inisiatif ini juga dilihat sebagai satu pengubah keadaan (game changer) dalam pendekatan pembangunan luar bandar yang dijuarai oleh KKDW. Ia memperlihatkan peralihan daripada model pelaksanaan berpusat kepada model penyelarasan bersama yang lebih fleksibel.

Dalam model ini, kekuatan Persekutuan dari segi pembiayaan dan kerangka dasar digabungkan dengan kelebihan negeri dari segi pelaksanaan dan kefahaman lokal.

Gabungan ini berpotensi menghasilkan penyampaian yang lebih cekap, sekali gus mengurangkan kelewatan projek dan ketirisan sumber.

Dari sudut sosioekonomi, impak projek BALB ini tidak boleh dipandang ringan. Akses kepada air bersih merupakan hak asas yang menjadi prasyarat kepada pembangunan menyeluruh.

Di kawasan luar bandar Sarawak, masih terdapat segelintir komuniti yang bergantung kepada sumber air tidak terawat seperti sungai, air bukit dan kawasan tadahan.

Keadaan ini bukan sahaja boleh menjejaskan kesihatan, malah membataskan potensi ekonomi dan sosial masyarakat setempat.

Dengan pelaksanaan projek ini secara lebih agresif dan terselaras, impaknya akan dirasai dalam bentuk peningkatan kesihatan awam, produktiviti ekonomi dan kualiti hidup keseluruhan.

Lebih daripada itu, penyediaan air bersih juga mempunyai implikasi jangka panjang terhadap pembangunan modal insan termasuk kesihatan keluarga, kanak-kanak, wanita  yang dapat terlibat dalam aktiviti ekonomi yang lebih produktif.

Dalam erti kata lain, projek ini bukan sekadar membina infrastruktur, tetapi membina masa depan komuniti.

Pengukuhan kapasiti institusi negeri

Pengambilalihan ini juga memberi kesan jangka panjang kepada pembangunan kapasiti institusi Sarawak. Dengan mengurus projek berskala besar, agensi negeri akan memperkukuh kepakaran teknikal, pengurusan projek dan inovasi dasar.

Situasi ini selari dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030. Dalam konteks ini, pembangunan infrastruktur asas seperti air adalah prasyarat kepada transformasi ekonomi yang lebih besar, termasuk industri tenaga, digital dan pelancongan.

Kehadiran tokoh arus perdana selaku Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid dalam proses penyerahan ini juga menunjukkan wujudnya kerjasama strategik antara pemimpin kanan Persekutuan dan negeri berasaskan pemahaman bersama menangani isu rakyat.

Penglibatan ini penting untuk memastikan kesinambungan pembiayaan dan sokongan teknikal dari semasa ke semasa.

Mengurangkan ketidaksamaan wilayah

Salah satu isu terbesar dalam pembangunan Malaysia ialah jurang antara bandar dan luar bandar, serta antara Semenanjung dan wilayah di Borneo.

Dengan langkah ini, Sarawak mengambil pendekatan proaktif untuk menutup jurang tersebut yang kini didukung dan  dibantu oleh Kerajaan Pusat.

Laporan statistik kemiskinan sehingga Februari 2026, Sarawak mencatatkan terdapat 42,204 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin. Dalam perbandingan nasional Sabah: 69,587 KIR (tertinggi), Kelantan: 63,552 KIR, Sarawak: 42,204 KIR (antara yang tertinggi di Malaysia).

Kenyataan ini menunjukkan bahawa walaupun Sarawak tidak mencatatkan miskin tegar secara rasmi, skala kemiskinan relatif masih besar, khususnya dari segi bilangan isi rumah.

Dalam konteks ini, projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai RM3.47 bilion menjadi alat dasar paling kritikal.

Penyerahan pelaksanaan kepada Sarawak bukan sekadar isu teknikal, tetapi intervensi langsung terhadap antara punca kemiskinan, transformasi struktur ekonomi luar bandar, dan pengurangan kemiskinan multidimensi dan akses ini akan meningkatkan kesihatan, pendidikan dan kualiti hidup.

Hakikatnya, kekurangan akses kepada air bersih adalah antara indikator utama kemiskinan multidimensi.

Dengan mempercepatkan projek bekalan air, Sarawak bukan sahaja menangani isu utiliti tetapi juga menyumbang kepada agenda nasional pengurangan kemiskinan.

Ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 6) yang menekankan akses universal kepada air bersih menjelang 2030.

Implikasi politik dan semangat federalisme

Dari sudut politik, langkah ini mencerminkan evolusi federalisme Malaysia ke arah model yang lebih dinamik dan berasaskan kepercayaan.

Ia menunjukkan bahawa Kerajaan Pusat bersedia mengagihkan kuasa kepada negeri yang mempunyai kapasiti dan rekod prestasi.

Bagi Sarawak, ini mengukuhkan naratif autonomi yang selama ini diperjuangkan dalam kerangka MA63.

Namun, yang lebih penting ialah hasilnya kepada rakyat, iaitu penyampaian perkhidmatan yang lebih baik.

Pendekatan ini juga boleh menjadi model kepada negeri lain, khususnya Sabah, dalam mengurus pembangunan luar bandar secara lebih efektif.

Cabaran

Namun begitu, kejayaan inisiatif ini tidak boleh bergantung kepada struktur pelaksanaan semata-mata.

Cabaran seperti peningkatan kos, keperluan kepakaran teknikal serta risiko ketirisan tetap wujud dan perlu diurus dengan teliti.

Dalam hal ini, pendekatan tadbir urus yang telus, pemantauan berasaskan data serta koordinasi berterusan antara Persekutuan dan negeri adalah kritikal.

Peranan mekanisme seperti Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCBLUB), peranan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) juga penting dalam memastikan setiap penyesuaian dasar dibuat secara berhemah dan berasaskan bukti.

Dalam kerangka lebih luas, projek BALB ini juga harus dilihat sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan inklusif negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, serta antara Semenanjung dan wilayah Borneo, hanya dapat dirapatkan melalui pelaburan strategik dalam infrastruktur asas.

Oleh itu, kejayaan pelaksanaan projek ini akan menjadi indikator penting kepada keupayaan negara mencapai pembangunan yang seimbang dan adil.

Rumusan

Penyerahan pelaksanaan projek BALB kepada Sarawak merupakan satu langkah strategik yang berteraskan kerjasama dan kepercayaan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Langkah ini mencerminkan pendekatan baharu dalam tadbir urus pembangunan lebih fleksibel, lebih responsif dan lebih berorientasikan hasil.

Jika dilaksanakan dengan cekap dan berintegriti, inisiatif ini bukan sahaja mampu mempercepat pencapaian liputan bekalan air bersih, tetapi juga menjadi model kepada pendekatan pembangunan luar bandar yang lebih berkesan di Malaysia.

Akhirnya, yang paling penting ialah manfaat yang dirasai oleh rakyat kerana pembangunan yang sebenar bukan diukur melalui projek yang diumumkan, tetapi melalui perubahan nyata dalam kehidupan seharian masyarakat.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara  dan  Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Pengurusan kebersihan, kawalan penyakit di Kuching zaman dahulu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.