PELARI menara negara Soh Wai Ching selesai dalam cubaan mengatasi rekod semasa ‘Guinness World Records’ untuk cabaran pendakian tangga menegak terhebat dalam satu jam.
Soh, 26, atlet larian menara nombor satu Asia itu menamatkan lariannya pada 10 malam di Hotel Four Seasons di sini dengan jarak larian menegak keseluruhan sejauh 1.295 kilometer (km).
Rekod dunia semasa dipegang David Robles Tapia dari Sepanyol yang mencatat 1.227 km dalam satu jam.
Bagaimanapun keputusan percubaan Soh itu kini diteliti pegawai Guinness World Records yang menjelaskan melalui panggilan video bahawa mereka mungkin memerlukan masa sehingga dua hari sebelum keputusan rasmi dikeluarkan.
“Kami sedang meneliti rakaman (percubaan Soh) dan akan mengambil masa dua hari untuk membuat keputusan kerana kami perlu menganalisis rakaman itu secara terperinci dan videonya panjang,” jelas pengadil Guinness World Records Swapnil Dangarikar.
Pada cabaran itu, Soh berlari hingga ke tingkat 66 bangunan itu dan mengambil lif untuk ke tingkat bawah, sebelum berlari semula ke atas berulang kali dari jam 9 hingga 10 malam.
Sukan larian menara adalah sukan melibatkan larian memanjat struktur binaan manusia.
Semasa ditemui pemberita selepas menamatkan larian berkenaan, Soh berkata beliau gembira dapat melakukannya dengan baik.
“Saya gembira kerana berjaya mencatat masa yang baik tetapi sedikit kecewa kerana tidak dapat mencapai sasaran jarak peribadi saya pada 1.3 km dalam satu jam.
“Saya akan berusaha lebih lagi dalam larian seterusnya untuk mengatasi sasaran ini,” katanya sambil menambah bahawa beliau merancang untuk melakukan larian di Menara Berkembar Petronas pada masa depan apabila pandemik Covid-19 reda.
Untuk rekod, Soh kini merupakan pelari menara nombor dua dunia. -Bernama