
KUCHING: Ketidaktentuan bekalan minyak global akibat konflik di Asia Barat serta kenaikan harga diesel dilihat mempercepat keperluan peralihan tenaga di peringkat dunia, Sarawak kini bersedia melalui pendekatan tenaga alternatif seperti hidrogen dan metanol.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, situasi global semasa yang tidak stabil menunjukkan bahawa kebergantungan kepada bahan api fosil semakin terdedah kepada risiko gangguan rantaian bekalan serta kenaikan harga yang memberi kesan langsung terhadap kos sara hidup rakyat.
“Dalam keadaan dunia yang tidak menentu ini, kita memang tidak ada pilihan selain bergerak ke arah tenaga bersih yang boleh diperbaharui, ini bukan lagi konsep, tetapi realiti.

“Teknologi tenaga baharu seperti hidrogen dan ammonia kini semakin relevan apabila kos pengeluarannya dilihat semakin kompetitif berbanding bahan api konvensional seperti diesel.
“Pada minggu lepas, seorang rakan telah membuat perbandingan kos antara diesel dan hidrogen. Dengan harga diesel pada masa ini, hidrogen sudah menjadi kompetitif. Dahulu, ramai beranggapan hidrogen mahal, namun kini tidak lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-30 Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) di sebuah hotel terkemuka di sini, pada hari ini.
Tambah beliau, Sarawak kini antara pengeluar metanol di peringkat global, sekali gus membuktikan negeri itu sudah berada dalam rantaian nilai tenaga dunia melalui pembangunan sumber gas secara lebih hiliran.

“Saya bersyukur kerana kita adalah antara yang menghasilkan metanol di peringkat global dari Sarawak, dan kita akan pergi lebih jauh dalam sumber gas hiliran.
“Jangan risau, kita akan pertahankan hak gas Sarawak setakat mana ia berkaitan dengan Sarawak,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak telah menetapkan sasaran kapasiti tenaga sebanyak 10 Gigawatt menjelang 2030 dan 15 Gigawatt menjelang 2035 melalui gabungan tenaga boleh diperbaharui dan gas.
“Peningkatan kapasiti itu penting bagi memastikan Sarawak kekal sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif di rantau ini, khususnya ketika dunia berdepan ketidaktentuan tenaga,” tambahnya.
Mengulas peranan infrastruktur, beliau berkata Bintulu Port memainkan peranan penting sebagai pintu utama eksport tenaga Sarawak, termasuk produk hiliran seperti methanol, selain menyokong pembangunan kawasan industri seperti Taman Perindustrian Samalaju II.

Dalam ucapannya, beliau turut menekankan keperluan digitalisasi dan automasi dalam operasi pelabuhan bagi memastikan daya saing kekal relevan dalam era baharu.
“Penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) akan mengubah operasi pelabuhan dalam tempoh beberapa tahun akan datang, termasuk mempercepatkan proses pengendalian kargo dan pelepasan logistik.
“Saya turut menyambut baik pemindahan kuasa kawal selia Lembaga Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan Sarawak, yang disifatkan sebagai langkah strategik dalam menyelaraskan pembangunan pelabuhan negeri.
“Dengan penubuhan Lembaga Pelabuhan Sarawak (SarPA), semua pelabuhan di Sarawak akan diselaraskan bagi memastikan kecekapan dan integrasi logistik yang lebih baik,” ujarnya.
Mengakhiri ucapannya, beliau berkata 30 tahun pertama Bintulu Port adalah asas kepada pembangunan kukuh, manakala 30 tahun akan datang perlu memberi tumpuan kepada kecemerlangan melalui transformasi digital, hijau dan strategik.
Oleh Masrin Affirah