
SIMANGGANG: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) memperuntukkan hampir RM7 bilion bagi memperkukuh sistem bekalan air di seluruh negeri sebagai usaha memastikan liputan lebih menyeluruh dan stabil menjelang 2030.
Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kementerian itu diamanahkan menyediakan bekalan air terawat dan bersih, elektrik, agihan gas serta telekomunikasi termasuk internet kepada rakyat di seluruh Sarawak.

Menurut beliau, di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, negeri ini mempunyai dasar pembangunan kukuh berasaskan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), dengan sektor utiliti menjadi antara keutamaan utama.
“Bekalan air bersih amat penting sebagai pemangkin pembangunan negeri. Pada masa ini, liputan bekalan air di kawasan bandar melebihi 90 peratus, namun di luar bandar hanya sekitar 71 peratus.
“Secara purata, liputan keseluruhan bekalan air di Sarawak kini berada pada tahap sekitar 85.6 peratus,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Anak Perantau Simanggang di Dewan Suarah Sri Aman, semalam.

Beliau berkata, bagi meningkatkan liputan dan kualiti bekalan air, kerajaan Sarawak mengambil langkah berani dengan menyediakan peruntukan besar sebanyak RM4 bilion khusus untuk projek bekalan air.
Jumlah itu turut ditambah melalui peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan RMK-13, termasuk RM1.1 bilion bagi menggantikan paip lama dan uzur di seluruh negeri.
“Keseluruhannya, peruntukan hampir RM7 bilion ini adalah daripada kerajaan Sarawak sendiri untuk memastikan projek bekalan air dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” jelasnya.
Tambah beliau, pelaksanaan projek melibatkan pembinaan loji rawatan air baharu, menaik taraf loji sedia ada serta pemasangan sistem paip grid di seluruh Sarawak bagi memastikan agihan bekalan lebih efisien.
Di Bahagian Sri Aman, katanya, Loji Rawatan Air Bayai yang mempunyai kapasiti 1,100 juta liter sehari (JLS) masih belum mencukupi, justeru loji baharu di Engkilili berkapasiti 75 JLS sedang dibina dan boleh dinaik taraf sehingga 150 JLS pada masa hadapan.
Selain itu, sistem grid bekalan air sedang dibangunkan bagi menghubungkan Loji Rawatan Air Bayai dan Engkilili ke kawasan seperti Lingga, Pantu serta seterusnya ke Bahagian Betong.
“Di Lingga, kita telah membina sistem ‘Accute’ berkapasiti 1 JLS bagi menambah bekalan sedia ada yang sebelum ini tidak mencukupi,” katanya.
Dalam masa sama, projek grid air turut dilaksanakan di Bahagian Serian, Samarahan dan Kuching, termasuk menaik taraf Loji Rawatan Air Batu Kitang yang akan meningkatkan kapasiti kepada 968 JLS.
Julaihi berkata, semua sistem ini akan disambungkan bagi membentuk rangkaian bekalan air menyeluruh meliputi wilayah selatan Sarawak termasuk Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong sebelum diperluas ke wilayah tengah dan utara negeri.
Beliau turut memaklumkan kerja menaik taraf dan penggantian paip sepanjang 2,740 kilometer sedang giat dijalankan bagi memastikan sistem pengagihan lebih cekap dan tahan lama.
“Apabila kesemua projek ini siap dalam tempoh tiga tahun akan datang, bekalan air di Sarawak akan menjadi lebih stabil, terjamin dan mampu disalurkan ke setiap rumah termasuk di kawasan luar bandar,” katanya.
Bagi kawasan yang tiada jaringan jalan raya, beliau berkata, kerajaan turut melaksanakan Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) menggunakan sistem kendiri bagi memastikan penduduk tetap menikmati kemudahan asas itu.
Namun begitu, beliau berharap rakyat dapat bersabar kerana semua projek masih dalam peringkat pelaksanaan dan memerlukan masa untuk disiapkan sepenuhnya.
Oleh Adi Safarman