
MIRI: Kemudahan pembuangan sampah khas untuk premis komersial sudah disediakan, namun tahap pematuhan masih longgar apabila sisa pepejal terus dilonggok di luar kawasan ditetapkan, mencetuskan persoalan terhadap sikap tanggungjawab segelintir pihak.
Tinjauan Utusan Sarawak di Pusat Komersial Centre Point di sini mendapati pelbagai jenis sampah seperti plastik, kotak, sisa makanan serta barangan terpakai termasuk mesin basuh dibuang secara tidak teratur sehingga mencemarkan persekitaran dan menjejaskan imej kawasan tersebut.
Keadaan itu bukan sahaja mengeluarkan bau kurang menyenangkan, malah berisiko mengundang kehadiran haiwan perosak serta menjejaskan kesihatan awam.
Walaupun pihak berkuasa tempatan telah menyediakan pusat pelupusan khas bagi memudahkan pengurusan sisa komersial, sikap tidak bertanggungjawab dalam kalangan segelintir peniaga dan individu dikenal pasti sebagai faktor utama masalah itu berlarutan.
Dalam masa sama, golongan pencari barangan terpakai turut diingatkan supaya lebih beretika ketika menjalankan aktiviti mereka dengan tidak menyelerakkan semula sisa yang telah dibuang.
Tindakan menggeledah tong sampah tanpa mengurus kembali bahan yang dikeluarkan hanya akan memburukkan keadaan serta menyukarkan kerja pembersihan.
Sehubungan itu, semua pihak diseru agar memainkan peranan masing-masing dengan mematuhi peraturan pembuangan sampah yang ditetapkan demi memastikan kawasan komersial kekal bersih, teratur dan selamat untuk semua.
Oleh Liong Chai Ling