
SIBU: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) hari ini meraikan pelanggan pada majlis Ramah Mesra Aidilfitri dan Hari Bersama Pelanggan sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan terhadap usaha kebajikan yang dilaksanakan.
Pengurus Besar TBS, Datu Abg Mohd Shibli Abg Mohd Nailie berkata, majlis tersebut dianjurkan khusus bagi mengeratkan hubungan selain menghargai semua pihak yang telah banyak membantu sepanjang tahun.
“Hari ini sebenarnya kita meraikan pelanggan kita dan mengucapkan terima kasih atas segala sokongan serta bantuan yang telah diberikan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis tersebut di Dewan Kompleks Islam, Sibu, hari ini.
Beliau berkata, sambutan tersebut turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan selain menjemput pelanggan menikmati juadah Aidilfitri bersama.
Dalam masa sama, beliau turut menghargai peranan media yang banyak membantu menyalurkan maklumat berkaitan fungsi dan peranan TBS kepada masyarakat.
“Peranan media sangat penting dalam menyampaikan maklumat mengenai apa yang Baitulmal lakukan. Ini memberi kesedaran kepada masyarakat untuk memahami dan seterusnya menyokong dengan menunaikan zakat melalui kami,” ujarnya.
Katanya, hasil sokongan tersebut membolehkan pihaknya mengagihkan semula sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
“Ini amat penting kerana ia memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar berhak,” ujarnya lagi.
Beliau sekali lagi merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran penyampaian bantuan kepada masyarakat.
Oleh Akun Giman