
SELANGAU: Seorang wanita maut dalam kemalangan kendiri di Kilometer (KM) 65, Lebuh Raya Pan Borneo Sibu-Bintulu, Jalan Sungai Kua, Selangau, kira-kira 1.40 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Polis Muhamad Rizal Alias berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu mangsa berusia 34 tahun, warga tempatan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dalam perjalanan dari arah Bintulu menuju ke Sibu sebelum dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh di lokasi kejadian.
“Akibatnya, kenderaan terbabit terbabas lalu melanggar besi penghadang jalan. Impak kemalangan menyebabkan mangsa tercampak keluar dari kenderaan,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, mangsa yang berasal dari RPR Kidurong, Bintulu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, badan dan kaki kanan, dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Rahmat Jalimin di talian 011-31627137 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu pada waktu malam serta mematuhi had laju yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Oleh Akun Giman