
SEOUL, Korea Selatan: Seekor serigala yang terlepas dari sebuah zoo di Korea Selatan masih belum berjaya ditangkap sehingga hari ini, menurut pihak berkuasa, sekali gus mendorong penutupan sebuah sekolah tempatan atas faktor keselamatan ketika operasi pencarian diteruskan.
Serigala jantan itu dilahirkan pada 2024 dan seberat kira-kira 30 kilogram terlepas dari zoo di sebuah taman tema di Daejeon, kira-kira 150 kilometer di selatan Seoul, semalam, sekali gus mencetuskan operasi pencarian besar-besaran di kawasan sekitarnya.
Menurut pihak berkuasa, haiwan tersebut masih bebas, manakala sebuah sekolah berhampiran ditutup demi keselamatan.

“Sekolah Rendah Daejeon Sanseong ditutup hari ini susulan kejadian serigala terlepas dari zoo semalam,” kata jurucakap Pejabat Pendidikan Metropolitan Daejeon kepada AFP.
Lebih 300 anggota termasuk anggota bomba, polis dan tentera terlibat dalam operasi pencarian, menurut pegawai dari Ibu Pejabat Bomba Daejeon.
“Kami mengerahkan kamera dron pada awal pagi tetapi terpaksa menariknya semula berikutan hujan yang berterusan,” katanya kepada AFP.

Menurut pegawai itu, serigala berkenaan menggali tanah dan merosakkan pagar yang dipasang di zoo sebelum meloloskan diri.
Imej yang disiarkan media tempatan menunjukkan haiwan itu berkeliaran di tengah jalan.
Pada 2023, seekor zebra jantan menjadi sensasi global selepas terlepas dari sebuah zoo di Seoul dan dilihat berkeliaran di jalan raya.
Zebra tersebut dinamakan Sero akhirnya berjaya dikepung di sebuah lorong sempit, ditenangkan dengan selamat menggunakan ubat pelali dan dipulangkan ke kandangnya tanpa sebarang kecederaan. – AFP