

Kamu, Jarak dan Waktu
Aku dan jarak bersahabat
memusuhi kamu.
Aku dan waktu berjabat,
mengkhianati kamu.
Usiamu adalah sungai
yang tak berhenti mengalir.
Ingin aku renanginya
mengejar kamu di hilir
biar kita bertemu lagi.
Usiamu adalah dedaun
yang gugur mengikut musim
ingin aku sentiasa ada
tanpa menunggu
hari bertukar paksi.
Mohd Hapizan, Kuching.
Musafir Senja
Saat merenung jauh ke palung senja,
Tatapan anggun mengkhayalkan fikiran,
Ingin digapai sinaran keemasan itu,
Di sebalik mega yang menghiasi langit,
Angin kencang yang mempesonakan jiwa,
Bak sonata menenangkan raga senja.
Berteduh pada lembayung senja,
Sejenak terpaku melihat merah mentari,
Terpukau dan terpana meresapi diri,
Rajutan derita terlerai seketika,
Memulihkan parut yang dipendam,
Walaupun esok dan nanti ia kembali lagi.
Apabila senja beransur pulang,
Kembali daku memijak realiti,
Tidak semua akan abadi,
Namun teristimewa tersemat di sanubari,
Termangu kaki melangkah pergi,
Ke manakah diri ini harus pulang?
Hisyam M.
Suara Sungai dari Jantung Borneo
Aku tidak lahir,
aku diingat oleh kabus.
Di rahim pergunungan yang menua,
aku bening sebelum kata,
menyusur akar-akar yang hafal hujan,
membaca sunyi pada lumut dan tulang daun.
Aku belajar berjalan daripada bumi,
belantara mengajar aku sabar,
dan hijau menyimpan rahsia lebih lama daripada manusia.
Rumah panjang berteduh di dadaku,
tiangnya dari doa,
lantainya dari langkah berzaman,
sape’ mengoyak senja perlahan-lahan,
dan aku mendengar keluarga membesar dalam riak suaraku.
Di bahuku tergantung nyanyian pahlawan,
bukan pedang, tetapi ingatan,
pua kumbu ditenun daripada mimpi perempuan,
yang tahu tanah tidak pernah benar-benar bisu.
Kelodakku menyimpan pesan tua,
apa yang diambil tanpa hormat akan menuntut kembali.
Kini batu belajar bercakap,
besi menghafal nama-nama baharu,
burung berpindah dari jadual pagi,
dan aku dipanggil angka,
dalam peta yang tidak mengenal bau hujan
atau wajah kanak-kanak di tebing.
Aku tidak melawan,
aku hanya mengalir sambil mengingatkan,
bahawa waktu juga tahu memilih mangsanya.
Di dalam arusku terbang Kenyalang,
sayapnya menyimpan arah,
bukan untuk meninggalkan rimba,
tetapi mengingatkan manusia
ke mana asal mereka pernah bernaung.
Selagi aku bernama sungai,
Borneo masih menyebut dirinya.
Walfred Anak Basin, Miri, Sarawak