
TASEK GELUGOR: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri halal global dengan sistem pensijilan yang diiktiraf lebih 50 negara, selain mengekalkan kedudukan teratas dalam Indeks Ekonomi Islam Global selama bertahun-tahun.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kekuatan negara bukan sahaja terletak pada pengeluaran sijil halal, tetapi merangkumi keseluruhan rantaian nilai termasuk pengeluaran, pengedaran dan pemasaran ke peringkat global.
“Malaysia adalah peneraju kepada pengeluaran sijil halal. Tahun ini ialah tahun ke-51 pengeluaran sijil halal, tiada negara Islam atau negara bukan Islam yang mengeluarkan sijil-sijil halal seperti ini (yang diiktiraf banyak negara), melainkan Malaysia,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Industri PERDA Halal Park di Perda Food Park, di sini hari ini.
Beliau menegaskan usaha itu menjadi penanda aras antarabangsa dalam pembangunan ekosistem halal menyeluruh, termasuk pengembangan industri dan pengedaran ke pasaran domestik serta antarabangsa.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) Datuk Dr Shaik Hussein Mydin. – Bernama