KUCHING: Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan RM9.832 bilion bagi Belanjawan Negeri 2021.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, daripada jumlah itu RM6.0 bilion digunakan bagi tujuan pembangunan manakala selebihnya RM3.832 bilion bagi perbelanjaan mengurus.
“Belanjawan 2021 merupakan belanjawan lebihan iaitu sebanyak RM180 juta memandangkan Sarawak meramalkan anggaran hasil negeri pada tahun depan berjumlah RM10.012 bilion yang disumbang oleh hasil kutipan cukai.
“Ia termasuk Cukai Jualan Negeri – SST (RM4.742 bilion atau 47 peratus), hasil bukan cukai (RM4.999 bilion atau 50 peratus), penerimaan bukan
hasil (RM16 juta) dan geran kerajaan dan bayaran balik (RM260 juta),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sarawak 2021 pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Kelapan Belas di sini, semalam.
Tambahnya, belanjawan ini akan terus menumpukan kepada pembangunan dengan 62 peratus daripada RM9.832 bilion diperuntukkan bagi tujuan pembangunan iaitu RM6.304 bilion manakala RM3.832 bilion bagi tujuan pengurusan.
“Pada tahun ini, Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan RM9.891 bilion bagi Belanjawan 2020 dan daripada jumlah itu RM6.597 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM3.294 bilion bagi perbelanjaan operasi,” ujarnya.
Jelasnya lagi, daripada RM6.0 bilion diperuntukkan untuk pembangunan RM4.251 bilion atau 67 peratus bagi mempercepatkan pembangunan luar bandar manakala baki RM 2.053 bilion atau 33 peratus untuk membangunkan lagi kawasan bandar di negeri ini.
“RM4.251 bilion yang diperuntukkan bagi pembangunan luar bandar adalah untuk melaksanakan beberapa projek pembangunan seperti projek Rangkaian Jalan Pesisir (RM1.52 bilion), pelbagai projek di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah – RECODA (RM1.687 bilion), Jalan Utama Kedua (RM494 juta), Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan-IRSDA (RM792 juta), Jalan Lawas/Limbang (RM430 juta), Projek Rakyat (RM500 juta), Projek-Projek Transformasi Luar Bandar (RM400 juta) dan Projek-Projek Kecil Luar Bandar (RM235 juta),” katanya.
Pelaksanaan projek ini akan membolehkan rakyat di luar bandar menikmati infrastruktur dan kemudahan awam lebih baik yang sudah tentunya akan meningkatkan taraf hidup mereka.
“Tambahan projek ini akan mewujudkan kesan pelbagai kepada ekonomi tempatan, menjana ribuan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan dan merancakkan lagi sektor pembinaan dan perkhidmatan,” ujarnya lagi.