
SARATOK: Tragedi kemanusiaan yang berlaku di beberapa negara bergolak khususnya di Asia Barat menjadi peringatan besar kepada rakyat Malaysia agar tidak mengambil mudah nikmat keamanan yang dikecapi selama ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, keamanan yang dinikmati negara hari ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil daripada perpaduan kukuh dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.
Menurut beliau, rakyat di negeri Sarawak khasnya dan Malaysia amnya memikul tanggungjawab besar untuk memastikan keamanan, perpaduan dan keharmonian terus dipelihara sepanjang masa.
“Ketika kita bergembira menyambut Aidilfitri dengan pakaian baharu dan hidangan enak seperti ketupat, lemang dan rendang, janganlah kita lupa saudara-saudara kita di Asia Barat yang menyambut perayaan dalam suasana penuh penderitaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2026 ADUN N.38 Kalaka bertempat di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Syn dekat sini hari ini.
Mohamad Duri menambah, situasi di kawasan konflik seperti Gaza memperlihatkan bagaimana masyarakat di sana terpaksa menyambut Aidilfitri dalam ketakutan, kehilangan ahli keluarga serta ketiadaan tempat berteduh.


“Bayangkan jika suasana hari raya kita dipenuhi bunyi dentuman bom, bukan gelak tawa. Keadaan ini seharusnya membuka mata kita tentang betapa berharganya keamanan yang kita miliki,” jelasnya.
Sehubungan itu, Mohamad Duri menegaskan bahawa rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar daripada konflik luar negara untuk memperkukuh perpaduan dan tidak membiarkan perselisihan kecil meruntuhkan keharmonian yang telah lama dibina.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa orang ramai agar terus mengamalkan nilai kesederhanaan serta berbelanja secara berhemah, terutama dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik antarabangsa.
Katanya, rakyat perlu mengutamakan keperluan berbanding kehendak, di samping mengelakkan pembaziran dan mengamalkan sikap berjimat-cermat demi kesejahteraan jangka panjang keluarga.
“Namun dalam kita berjimat, jangan kita lupa untuk berkongsi rezeki dan membantu golongan memerlukan kerana semangat kebersamaan itulah yang menguatkan masyarakat,” ujarnya.
Mohamad Duri turut menekankan bahawa sambutan Aidilfitri bukan sahaja bermakna kepada umat Islam, malah menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan antara kaum melalui amalan rumah terbuka.
Menurutnya, tradisi kunjung-mengunjung dan konsep ‘ngabang’ yang diwarisi turun-temurun kini diterjemahkan dalam bentuk majlis rumah terbuka dan ramah tamah yang mengeratkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Turut hadir ialah ADUN Krian, Friday Belik; Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom; Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid; Pegawai Daerah Kabong, Tahir Mohd Sharee serta jemputan lain.
Oleh Adi Safarman