Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Pengusaha bedak sejuk mampu hasilkan 100 botol semasa musim panas
  • INSPIRASI

Pengusaha bedak sejuk mampu hasilkan 100 botol semasa musim panas

Utusan Sarawak 11 hours ago
PENGUSAHA bedak sejuk tradisional Yeoh Sing Huat, 48, menunjukkan produk bedak sejuk yang siap dibotolkan untuk dijual di Kampung Jalan Baru di Pulau Pinang. Foto Bernama

BALIK PULAU, Pulau Pinang: Seorang pengusaha bedak sejuk tradisional cekal mempertahankan warisan keluarga selama lima dekad dengan menghasilkan produk itu secara tradisional walaupun berhadapan proses pembuatan yang rumit dan bergantung kepada cuaca. 

Yeoh Sing Huat, 48, berkata memilih untuk meneruskan legasi keluarganya walaupun persaingan pasaran moden semakin mencabar kerana ia bukan sekadar sumber rezeki, tetapi amanah yang diwarisi daripada mendiang bapanya Yeoh Teng Beng. 

PENGUSAHA bedak sejuk tradisional Yeoh Sing Huat, 48, melakukan proses penapisan bedak sejuk selepas dijemur di Kampung Jalan Baru, Pulau Pinang. Foto Bernama

“Perniagaan Bedak Sejuk Lean Seng diasaskan kira-kira 50 tahun lepas oleh ayah di rumah kami di kampung Cina di Kuala Jalan Bharu untuk memenuhi keperluan komuniti setempat.

“Selepas pemergian ayah pada 2016 pada usia 74 tahun, saya bertekad untuk meneruskan perniagaan ini kerana pernah melihat betapa kuat ayah masih bekerja walaupun uzur,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

PENGUSAHA bedak sejuk tradisional Yeoh Sing Huat, 48, melakukan proses bedak sejuk secara tradisional di Kampung Jalan Baru, Pulau Pinang. Foto Bernama

Anak kedua daripada tiga beradik yang mesra dipanggil Ah Huat berkata bedak sejuk yang dihasilkan masih mengekalkan cara tradisional dengan menggunakan beras tempatan dan air sahaja, namun proses pembuatannya memerlukan kesabaran tinggi. 

Proses penghasilan bermula dengan beras hancur direndam kira-kira sebulan dengan air perlu ditukar setiap hari sebelum dikisar menjadi pes, ditapis dan dibentuk menjadi butiran kecil sebelum dijemur sekurang-kurangnya tiga hari yang perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelakkannya pecah atau hancur. 

“Dulu orang rendam lama sehingga sampai setahun, tapi sekarang kita buat ikut kesesuaian. Walaupun begitu, saya mengambil masa lebih kurang 40 hari untuk menghasilkan bedak sejuk,” katanya yang turut menghantar produk itu menjalani ujian makmal bagi memastikan ia selamat dan mematuhi piawaian.

Yeoh berkata satu adunan mampu menghasilkan 957 biji bedak sejuk dan dirinya berbangga dengan setiap produk dihasilkan kerana dilakukan secara tradisional serta teliti, walaupun keuntungan yang diperoleh tidak menentu dan bergantung dengan cuaca. 

BEDAK sejuk yang dihasilkan oleh pengusaha tradisional, Yeoh Sing Huat, 48, dijemur untuk proses pengeringan di Kampung Jalan Baru, Pulau Pinang. Foto Bernama

Cuaca, menurut Yeoh menjadi cabaran utama dalam pembuatan bedak sejuk secara tradisional dengan dirinya mampu menghasilkan sehingga 100 botol sehari yang berkapasiti 170 gram setiap satu atau kira-kira 20 kilogram bedak sejuk pada musim panas.

“Kalau (musim) hujan, kadang-kadang dalam sebulan cuma dapat kerja beberapa hari sahaja. Malah ada masa saya terpaksa buang bedak sejuk yang dihasilkan kerana rosak disebabkan tidak betul-betul kering,” katanya.

Yeoh berkata produk itu mendapat permintaan daripada pelbagai lapisan masyarakat dengan dirinya mempunyai pelanggan tetap dari seluruh negara termasuk pemborong yang membeli secara pukal sebelum dijenamakan semula.

Yeoh yang masih bujang berharap terdapat ahli keluarganya yang berminat untuk meneruskan perniagaan tersebut walaupun impian itu masih tidak pasti memandangkan dua anak saudaranya memilih laluan pendidikan dan kerjaya lain.

Dikenali sebagai “krim kecantikan nenek”, bedak sejuk telah lama menjadi sebahagian daripada amalan kecantikan masyarakat tempatan dan terkenal dengan sifat menyejukkan, melembap dan menenangkan kulit, khususnya dalam cuaca panas.

-Bernama

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Tiga pemuda hidupkan kembali tarian tradisional kalangan Gen Z

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.