
KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof hari ini meluangkan masa melawat jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Razali Nordin, 54, yang sedang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Fadillah dalam hantaran Facebook rasminya berkata Razali dijadualkan menjalani pembedahan injap jantung di Pusat Jantung Sarawak pada 4 Mei ini.
“Kepada rakan-rakan pengamal media semua, sesibuk mana sekalipun tugas dan amanah yang perlu dilaksanakan, jagalah kesihatan diri. Kerja penting, tetapi kesihatan lagi penting, jaga diri baik-baik,” kata Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya.
Razali telah berkhidmat di Sarawak selama lebih 20 tahun, diuji dengan pelbagai komplikasi kesihatan seperti jantung, batu karang, buah pinggang dan diabetes.
Dua hari lepas, Razali atau lebih dikenali dengan panggilan Yop dalam kalangan rakan media dikejarkan ke HUS dari rumahnya di Taman Sukma dengan bantuan pihak EMRS dari balai bomba Petra Jaya.- Bernama