
Foto: Pejabat Daerah Saratok
SARATOK: Keharmonian masyarakat berbilang kaum jelas terserlah dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri yang berlangsung meriah semalam di Dewan Pejabat Daerah Saratok, sekali gus membuktikan perbezaan latar belakang tidak menghalang sambutan perayaan secara bersama.
Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid berkata, majlis tersebut menjadi simbol perpaduan apabila masyarakat daripada pelbagai kaum termasuk Cina dan Iban turut hadir memeriahkan sambutan Aidilfitri.
Menurut beliau, penganjuran majlis ramah tamah kali ini merupakan hasil kerjasama antara Pejabat Daerah Saratok, Pejabat Daerah Kecil Nanga Budu serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Saratok.
“Walaupun berbeza kaum dan budaya, semangat kebersamaan yang ditunjukkan hari ini amat membanggakan apabila KMKK daripada kaum Cina dan Iban turut hadir bersama-sama meraikan Aidilfitri,” katanya.
Tambah beliau, majlis seperti ini bukan sahaja memberi ruang kepada masyarakat untuk saling bermaaf-maafan sempena Aidilfitri, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin dan komuniti setempat.

Foto: Pejabat Daerah Saratok
Selain itu, penganjuran program seumpama ini juga mampu memupuk semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan warga Pejabat Daerah serta KMKK di Saratok.
Mohammad Dino berharap agar usaha murni tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang dan menjadi contoh kepada masyarakat lain dalam mengukuhkan semangat kebersamaan tanpa mengira kaum dan agama.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik; Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom; Pegawai Daerah Kabong, Tahir Mohd Share; Pegawai Daerah Pusa, Hamdan Katang; ahli Majlis Daerah Saratok serta KMKK Daerah Saratok.
Oleh Adi Safarman