

JULAU: Seramai 17 penduduk rumah panjang telah menyertai program kesedaran keselamatan kebakaran di Rumah Vincent Mendu, Sungai Kandut Sejugam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata program itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada penduduk mengenai langkah pencegahan kebakaran dan tindakan segera yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan.
“Program yang bermula 11.30 pagi baru-baru ini dikendalikan oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mijan Pamin bersama dua anggota bomba sebagai sebahagian daripada usaha berterusan meningkatkan kesedaran masyarakat luar bandar.
“Program seperti ini penting bagi memastikan masyarakat memahami risiko kebakaran serta mengetahui langkah pencegahan yang boleh diambil di peringkat awal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, antara pengisian utama program adalah ceramah keselamatan kebakaran yang memberi penekanan terhadap aspek pencegahan dan tatacara pemadaman kebakaran dapur.
“Pendedahan secara langsung kepada komuniti setempat amat penting bagi memastikan mereka lebih bersedia menghadapi sebarang situasi kecemasan selain mampu bertindak dengan betul sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
“Saya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terutama ketika melakukan aktiviti memasak.
“Kerjasama masyarakat dalam mematuhi langkah keselamatan amat penting bagi membantu mengurangkan risiko kejadian kebakaran khususnya di kawasan rumah panjang dan penempatan luar bandar,” katanya.
Oleh Earl Anek