
Foto Maritim Tanjung Manis
TANJUNG MANIS: Gagal mengemukakan sijil penguntukan radas, sebuah vesel nelayan tempatan kelas C ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Manis di sini, semalam.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Mahkos Juing, berkata vesel itu ditahan oleh sepasukan anggota bot Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan rutin Op Permai 01/2019 dan Op Tiris 3.0 pada 1.26 petang, di kedudukan lebih kurang 12.4 batu nautika timur Tanjung Jerijeh.
“Vesel yang dinaiki oleh enam kru warganegara Malaysia tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana gagal mengemukakan sijil penguntukan radas semasa pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Menurut beliau, penguntukan radas ialah kebenaran rasmi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk menggunakan frekuensi spektrum radio tertentu.
“Ia dikawal selia, melibatkan fi, dan penting bagi penggunaan peranti radio secara sah,” tambahnya.
“Vesel dan kru tersebut seterusnya ditahan serta diiringi ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Manis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Mahkos menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang berkuatkuasa serta prosedur keselamatan ketika berada di laut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Sebarang maklumat atau insiden kecemasan di laut boleh dilaporkan ke talian kecemasan 999, Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis di talian 011-3572 8765, atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432 544 untuk tindakan segera,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek